KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Agihan keuntungan Lembaga Tabung Haji (TH) hanya diumumkan berdasarkan keputusan kewangan yang telah diaudit, sekali gus memperkukuh integriti proses pelaporan kewangan dan meningkatkan keyakinan pendeposit terhadap institusi.
Langkah itu diambil susulan daripada syor oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkenaan aspek pelaporan kewangan dan pengisytiharan agihan keuntungan TH bagi tempoh sebelum pelaksanaan Pelan Pemulihan dan Penstrukturan pada 2018.
Menurut TH, RCI mengesyorkan supaya agihan keuntungan hanya diisytiharkan berdasarkan penyata kewangan telah diaudit, selaras dengan prinsip tadbir urus yang baik, ketelusan dan kemampanan kewangan.
“TH menyambut baik syor tersebut dan telah melaksanakan pendekatan berkenaan sejak 2022,” menurut kenyataan TH yang dikeluarkan pada Jumaat.
TH memaklumkan bahwa hasil daripada pelaksanaan reformasi tadbir urus, penambahbaikan pengurusan risiko serta pengukuhan strategi pelaburan, prestasi kewangan badan berkanun itu terus menunjukkan perkembangan positif.
“Agihan keuntungan telah meningkat daripada 3.10 peratus bagi tahun kewangan 2023, kepada 3.25 peratus pada 2024, sebelum mencapai 3.50 peratus pada 2025, iaitu kadar tertinggi dalam tempoh lapan tahun.
“Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan TH untuk mengurus simpanan lebih 9.8 juta pendeposit secara berhemat telus dan mampan, selaras dengan mandat institusi sebagai pengurus dana umat Islam serta pemudah cara ibadah haji negara,” menurut kenyataan itu.
TH memaklumkan bahawa menurut laporan RCl, penyata kewangan TH bagi tahun kewangan 2017 tidak mengguna pakai Malaysian Financial Reporting Standards (MFRS) sepenuhnya.
Sekiranya piawaian MFRS diguna pakai sepenuhnya pada ketika itu, TH sepatutnya merekodkan kerugian bersih sekitar RM1.4 bilion, berbanding keuntungan bersih RM3.4 bilion dilaporkan bagi tahun kewangan tersebut.
"RCI berpendapat bahawa penggunaan kaedah Realisable Asset Value (RAV) adalah tidak selaras dengan Seksyen 22 Akta Tabung Haji berkaitan penilaian aset kerana RAV tidak direkodkan dalam penyata kewangan TH yang diaudit," menurut TH.
Dapatan tersebut memperkukuh keperluan untuk memastikan penyata kewangan disediakan secara telus, konsisten dan mematuhi piawaian perakaunan ditetapkan.
Laporan RCI juga menyatakan pendekatan diambil oleh TH dalam mengagihkan keuntungan dari tahun 2014 hingga 2017 adalah tidak mematuhi Seksyen 22 Akta Tabung Haji.
“Agihan keuntungan hendaklah dibayar daripada keuntungan sebenar dan bukannya daripada dana pendeposit sendiri.
“Laporan RCl menyatakan bahawa amalan tersebut memberi kesan kepada rizab kewangan TH serta mewujudkan jangkaan berterusan terhadap kadar agihan keuntungan yang tinggi dalam kalangan pendeposit,” menurut kenyataan itu lagi.
Menurut TH, kedudukan kewangan TH pada tahun 2014 sehingga 2017 menunjukkan jurang defisit aset-liabiliti yang terus berkembang daripada RM352 juta kepada RM4.093 bilion.
-- BERNAMA