Am 31/07/2026 05:54 PM

Bangkit Daripada Episod Doping, Angkat Berat Negara Cipta Sejarah Di Glasgow 2026

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Bangkit Daripada Episod Doping, Angkat Berat Negara Cipta Sejarah Di Glasgow 2026
Lima pemenang pingat emas negara dalam acara angkat berat lelaki pada temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026, dari kiri Muhammad Erry Hidayat, Muhammad Hafizuddin Rosli, Mohamad Aniq Kasdan, Muhamad Aznil Bidin dan Mohamad Syahmi Nor Ghazali, bergambar di Scottish Event Campus (SEC) Armadillo. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

GLASGOW, 31 Julai (Bernama) -- Kejayaan skuad angkat berat negara mencipta sejarah pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 di sini bukan hadir sekelip mata, sebaliknya dibina daripada pengajaran pahit beberapa kes doping yang pernah mencalarkan imej sukan itu.

Episod itu mendorong barisan kejurulatihan dan pengurusan memperkenalkan disiplin lebih ketat, termasuk mempergiat pendidikan antidoping serta memantau pengambilan suplemen dalam usaha mengelakkan kesilapan sama berulang.

Ketua jurulatih angkat berat kebangsaan Edmund Yeo berkata pengalaman lepas telah mengubah pendekatan skuad negara dalam membimbing atlet, terutama berkaitan bahan dan produk yang diambil sepanjang tempoh latihan serta pertandingan.

“Daripada kejadian-kejadian lepas, kita sudah belajar. Jadi, kita lebih berhati-hati, terutama dengan bekerjasama bersama ADAMAS (Agensi Anti-Doping Malaysia) menerusi sesi pendidikan.

“Ini bagi memberi kesedaran kepada atlet tentang apa yang boleh dan tidak boleh diambil. Pengambilan suplemen juga sentiasa dipantau. Kita memang berhati-hati dan sentiasa mengingatkan atlet,” katanya kepada Bernama di sini.

Angkat berat pernah melalui tempoh sukar selepas digugurkan daripada senarai sukan teras negara pada 2017 ketika prestasinya merosot, manakala beberapa kes doping kemudiannya turut menjejaskan reputasi sukan berkenaan.

Namun, sukan itu kembali diberikan kepercayaan apabila disenaraikan semula dalam kelompok 20 sukan berprestasi tinggi negara pada 2025 sebelum membuktikan kebangkitannya menerusi pencapaian terbaik Malaysia dalam sejarah Sukan Komanwel.

Sepanjang saingan yang berlangsung dari 26 Julai hingga semalam, skuad negara meraih lima pingat emas, satu perak dan satu gangsa, sekali gus muncul juara keseluruhan acara angkat berat Glasgow 2026.

Lima emas disumbangkan Mohamad Aniq Kasdan dalam kategori 60 kilogram (kg) lelaki, Muhamad Aznil Bidin (65kg), Muhammad Erry Hidayat (79kg), Muhammad Hafizuddin Roslin (88kg) dan Muhamad Syahmi Nor Ghazali (94kg).

Mereka turut menghasilkan keseluruhan 10 rekod temasya, sekali gus memperlihatkan bahawa kejayaan Malaysia bukan sahaja berdasarkan jumlah pingat, malah turut disertai peningkatan prestasi di pentas pertandingan.

Siti Aqilah Farhana Draman pula mencipta sejarah sebagai atlet wanita Malaysia pertama meraih pingat perak angkat berat Sukan Komanwel menerusi kategori +86kg, manakala Irene Jane Henry menyumbang gangsa kategori 48kg.

Kutipan lima emas, satu perak dan satu gangsa meletakkan Malaysia di hadapan Nigeria yang menduduki tempat kedua dengan tiga emas dan satu perak, diikuti Kanada (2-2-4) serta India (1-6-1).

Dengan lima daripada 16 pingat emas yang ditawarkan menjadi milik Malaysia, skuad negara turut mengatasi pencapaian terbaik terdahulu dua emas yang dicatat masing-masing di Gold Coast 2018 dan Birmingham 2022.

Pencapaian itu memberi gambaran bahawa proses membina semula sukan berkenaan bukan sekadar bergantung kepada kemampuan atlet di pentas tetapi turut menuntut perubahan budaya, disiplin dan pemantauan di luar gelanggang pertandingan.

Edmund menyifatkan prestasi di Glasgow sebagai pencapaian amat membanggakan kerana belum pernah dicatat skuad negara dalam beberapa edisi terdahulu.

“Keseluruhan prestasi kali ini sangat membanggakan kerana dalam beberapa edisi lepas, kita tidak pernah mencapai keputusan sebaik ini. Kita perlu terus maju ke hadapan, berusaha lebih keras dan membuat persediaan untuk kejohanan seterusnya,” katanya.

Edmund berkata fokus skuad kebangsaan selepas ini akan beralih kepada kejohanan kelayakan Sukan Olimpik, selain beberapa kejohanan utama dan Sukan SEA 2027.

Beliau mengingatkan pencapaian di Glasgow tidak seharusnya membuatkan skuad negara berasa selesa kerana cabaran lebih besar menanti, khususnya dalam usaha membawa kejayaan di peringkat Komanwel ke pentas dunia.

Mengulas penghargaan yang diberikan Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia Datuk Ayub Rahmat kepada barisan kejurulatihan tempatan, Edmund berkata pengiktirafan itu menjadi pembakar semangat untuk mereka terus melahirkan atlet berprestasi tinggi.

“Sebagai jurulatih, kita berasa terharu kerana dihargai. Terima kasih kerana memberikan penghargaan kepada jurulatih,” katanya yang dibantu penolong jurulatih Mohd Norshah Rizal Ruslan.

Kejayaan di Glasgow membuktikan skuad angkat berat negara mampu bangkit daripada tempoh sukar, namun ujian sebenar selepas ini adalah untuk memastikan prestasi, disiplin dan integriti yang telah dibina dapat terus dipertahankan.

-- BERNAMA