CYBERJAYA, 30 Julai (Bernama) -- Syarikat penyedia Internet satelit, Starlink, berhasrat melaksanakan percubaan teknologi direct-to-device (D2D) atau direct-to-cell (terus ke peranti) di Malaysia, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Beliau berkata teknologi berkenaan berpotensi membolehkan Internet disalurkan terus ke telefon bimbit melalui satelit bagi kawasan tertentu tanpa bergantung kepada menara telekomunikasi.
"Wakil daripada syarikat Starlink telah bertemu dengan saya untuk memaklumkan tentang satu perkhidmatan yang mereka berhasrat untuk cuba laksanakan percubaan di Malaysia.
"Ini merupakan satu anjakan yang agak signifikan dan besar sekiranya kita teruskan, kerana ia bermaksud bagi kawasan-kawasan tertentu, yang tidak ada menara yang mungkin capaian kawasan berpenduduknya kurang, namun kita boleh sediakan Internet melalui satelit," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pertukaran memorandum persefahaman antara Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah serta Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Seri Azman Ibrahim.
Fahmi berkata MCMC diminta mengundang syarikat telekomunikasi dalam pertemuan bersama syarikat Starlink bagi melihat peluang dalam melaksanakan teknologi yang tidak semestinya bergantung kepada infrastruktur sedia ada.
Memberi contoh, beliau berkata teknologi D2D oleh Starlink boleh menjadi alternatif yang lebih pantas dan kos efektif, jika dibandingkan dengan tempoh antara 18 hingga 24 bulan untuk membina sebuah menara telekomunikasi baharu.
"Dengan perkhidmatan seperti D2D dan direct-to-cell, bagi kawasan-kawasan tertentu, dengan mungkin tidak kos efektif ataupun kos efisien untuk memasang menara, mungkin kita boleh laksanakan program seperti itu," katanya sambil menambah kerjasama dengan LLM akan menjadi antara platform terawal bagi merealisasikan pelaksanaan perkhidmatan itu.
-- BERNAMA