KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) – Lembaga Tabung Haji (TH) hampir kecundang akibat kecuaian dan sikap tamak haloba, namun berjaya dipulihkan selepas masalah itu dikesan pada peringkat awal, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata TH merupakan institusi kewangan Islam yang telah sekian lama menjadi tonggak pengurusan ibadah haji rakyat Malaysia.
“Alhamdulillah dapat dikesan awal dan telah dipulihkan. Saya yakin TH akan terus cemerlang,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Perasmian Ibu Pejabat Baharu Maybank di Menara Merdeka Maybank di sini hari ini.
Semalam, Jemaah Menteri bersetuju untuk mendedahkan keseluruhan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH.
Laporan RCI yang diterbitkan semalam adalah bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi Lembaga TH dari 2014 hingga 2020.
Sementara itu, Anwar berkata sepanjang sejarah institusi kewangan sama ada pada peringkat global mahupun Malaysia, pelbagai institusi berdepan cabaran berkaitan integriti, tadbir urus yang baik serta pengurusan yang cekap dan beramanah.
“Justeru, cabaran bagi warga Kumpulan Maybank, bukan sahaja prestasi kewangan, malah integriti kerana imej bank ini dihormati bukan kerana kejayaan kewangan semata-mata tetapi prestasi dan integriti profesionalnya,” kata beliau.
Dalam pada itu, Anwar, yang juga Menteri Kewangan menyeru rakyat Malaysia bekerja keras untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan negara serta memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi yang berteraskan manusiawi menjelang 70 tahun kemerdekaan negara.
“Mari kita bekerja bersungguh-sungguh untuk memastikan negara ini aman dan stabil di samping memperkukuh dan fokus kepada pertumbuhan ekonomi manusiawi, yang tentunya berpaksikan asas ekonomi.
“Apabila berbicara mengenai asas, tonggaknya masih institusi kewangan. Oleh itu, usaha semua pihak (termasuk) bank dan institusi kewangan untuk mengurus ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat,” kata beliau.
-- BERNAMA