Am 30/07/2026 04:36 PM

KUSKOP Umum Pengecualian Yuran Penarafan Perusahaan Sosial

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
KUSKOP Umum Pengecualian Yuran Penarafan Perusahaan Sosial
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim bercakap pada sidang media selepas Majlis Perasmian Konvensyen Ekosistem Perusahaan Sosial (KEPS) Malaysia 2026 hari ini.

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengumumkan pengecualian yuran penarafan perusahaan sosial bagi menggalakkan lebih banyak syarikat dan organisasi mendapatkan pengiktirafan sebagai perusahaan sosial di Malaysia.

Menteri berkenaan Steven Sim berkata pengecualian itu melibatkan yuran penarafan Perusahaan Sosial Akreditasi sebanyak RM300 dan Perusahaan Sosial Asas sebanyak RM50 yang akan ditanggung sepenuhnya oleh Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) bermula 1 Ogos hingga 17 September 2026 bersempena dengan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia.

“Tujuannya ialah untuk menggalakkan lebih banyak syarikat mendaftar sebagai perusahaan sosial,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Ekosistem Perusahaan Sosial (KEPS) Malaysia 2026 di sini hari ini.

Sim berkata setakat ini sebanyak 649 perusahaan sosial telah menerima penarafan KUSKOP meliputi 328 Perusahaan Sosial Tunas, 253 Perusahaan Sosial Asas dan 68 Perusahaan Sosial Akreditasi.

Beliau berkata jumlah itu masih jauh daripada sasaran Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial 2030 (SEMy2030) yang menyasarkan 5,000 perusahaan sosial menjelang 2025, justeru usaha memperkukuh ekosistem sektor itu perlu dipergiatkan.

Sim berkata terdapat kemungkinan syarikat, koperasi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah menjalankan aktiviti berimpak sosial, namun tidak tampil mendapatkan penarafan disebabkan faktor kesedaran dan kos.

“Mungkin ada perniagaan dan koperasi yang telah melaksanakan aktiviti berbentuk impak sosial, tetapi sebab kesedaran, kos dan sebagainya, mereka tidak tampil untuk berdaftar,” katanya.

Beliau berkata perusahaan sosial yang mendapat penarafan turut berpeluang menikmati insentif pengecualian cukai hingga 31 Dis 2027.

KUSKOP turut menyediakan dana khusus hampir RM20 juta bagi membantu perusahaan sosial memperkukuh kapasiti perniagaan dan mengembangkan operasi mereka.

Katanya, antara kemudahan yang disediakan termasuk Skim Pembiayaan Perusahaan Sosial oleh SME Bank yang menawarkan pembiayaan sehingga RM500,000 pada kadar serendah tiga peratus, selain Program Penggalakan Koperasi sebagai Perusahaan Sosial (SERASI) oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Sementara itu, Sim berkata KUSKOP menerusi proses penambahbaikan kementerian berjaya mengurangkan tempoh pemprosesan permohonan penarafan perusahaan sosial daripada 90 hari kepada 30 hari.

Beliau berkata KUSKOP turut memperkenalkan Inisiatif Perolehan Impak Sosial Malaysia (PRISMA) bagi menggalakkan lebih banyak syarikat dan agensi kerajaan melaksanakan perolehan yang mengambil kira impak kepada masyarakat serta alam sekitar.

Sim berkata perusahaan sosial merupakan sektor yang masih baharu dari sudut pembangunan institusi di Malaysia namun mempunyai peranan penting sebagai rakan strategik kerajaan dalam menyelesaikan isu sosial dan membangunkan masyarakat secara lebih inklusif.

Sebanyak 10 syarikat dan agensi menjadi kumpulan perintis melalui komitmen di bawah PRISMA bagi memperuntukkan sebahagian aktiviti perolehan mereka kepada perusahaan sosial tempatan.

KUSKOP sendiri menyasarkan perolehan daripada perusahaan sosial sebanyak sekurang-kurangnya RM300,000 tahun ini, meningkat tiga kali ganda berbanding RM100,000 pada tahun lepas.

-- BERNAMA