KUALA NERUS, 30 Julai (Bernama) -- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melakar satu lagi kejayaan apabila Pusat Tenaga Boleh Baharu Luar Pesisirnya (CEFORE) terpilih menyertai Program Pemecut Makmal Inovasi Pembiayaan Iklim (CFIL) yang diterajui Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB).
Pengarah CEFORE Prof Madya Dr Mohd Asamudin A Rahman berkata pencapaian tersebut meletakkan UMT dalam kelompok projek berpotensi tinggi yang bakal memacu pembangunan teknologi tenaga boleh baharu dan pembiayaan iklim di Malaysia.
Beliau berkata program berprestij yang mendapat sokongan Bank Negara Malaysia (BNM) itu bertujuan mempercepat pembangunan penyelesaian pembiayaian iklim inovatif bagi menyokong aspirasi negara ke arah mencapai ekonomi bersih (net zero), meningkatkan daya tahan terhadap iklim serta memperkukuh usaha pemuliharaan alam sekitar.
"Program Pemecut CFIL menghimpunkan projek berimpak tinggi dari seluruh negara untuk mengikuti program inkubator selama 12 bulan yang memberi penekanan kepada pembangunan model perniagaan, strategi pembiayaan, inovasi, kebolehpasaran dan pengkomersialan teknologi.
"CEFORE berjaya melepasi proses saringan yang kompetitif apabila dipilih ke peringkat pembentangan, sebelum layak menyertai program tersebut daripada keseluruhan 22 pasukan yang bertanding," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Asamudin berkata pemilihan itu membuktikan bahawa penyelidikan dan inovasi yang dibangunkan UMT bukan sahaja mencapai standard akademik yang tinggi, malah mempunyai potensi besar untuk diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar yang memberi manfaat kepada industri dan negara.
Katanya secara tidak langsung ia membuka ruang kepada CEFORE untuk mengakses ekosistem pembiayaan iklim yang lebih kukuh, selain memperluas jaringan kerjasama dengan institusi kewangan, agensi kerajaan, pelabur dan pemain industri bagi mempercepat pembangunan projek tenaga boleh baharu di luar pesisir.
"Ini bukan sekadar pengiktirafan terhadap hasil penyelidikan kami, malah menjadi titik permulaan kepada fasa baharu pembangunan CEFORE.
“Fokus kami selepas ini ialah mempercepat pengkomersialan teknologi, memperkukuh kerjasama rentas sektor dan membangunkan model pembiayaan yang mampan supaya inovasi yang dihasilkan dapat diterjemahkan kepada impak sebenar kepada masyarakat, industri dan negara," katanya.
CEFORE merupakan pusat kecemerlangan yang ditubuhkan UMT hasil kerjasama strategik bersama Petronas bagi memacu penyelidikan, inovasi dan pembangunan tenaga boleh baharu luar pantai selaras dengan aspirasi negara ke arah peralihan tenaga dan pembangunan ekonomi biru yang mampan.
-- BERNAMA