KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Kesediaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon maaf secara terbuka susulan penggunaan istilah yang menyinggung perasaan masyarakat India mencerminkan kepimpinan berani, bertanggungjawab dan ikhlas yang mendahulukan prinsip kebenaran seiring dengan gagasan Malaysia MADANI.
Penganalisis politik dan perunding media Datuk Anbumani Balan berkata bukan semua pemimpin sanggup mengakui kesilapan, apatah lagi mengulangi permohonan maaf secara terbuka bagi memastikan mesej kekesalan itu benar-benar sampai kepada masyarakat yang terkesan.
"Beliau melakukannya (mohon maaf) dua kali di hadapan komuniti India dan bukannya sekadar menerusi kenyataan media. Selepas melakukannya iaitu di satu program Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) di Universiti Malaya dan semalam sekali lagi di Seremban.
"Jarang sekali situasi seperti ini berlaku kerana beliau tidak menuding jari kepada sesiapa. Mesej Perdana Menteri cukup mendalam dan beliau mahu mara ke hadapan untuk membantu membela nasib komuniti India di negara ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata keikhlasan seorang pemimpin tidak hanya diukur melalui kata-kata, tetapi juga menerusi kesediaannya mengakui kesilapan, mendengar suara rakyat dan mengambil langkah memperbaiki keadaan.
Anbumani berkata Anwar memahami keluhan komuniti India di Malaysia dan menyarankan mereka menilai komitmen Kerajaan MADANI berdasarkan rekod pentadbiran dan bukannya dipengaruhi oleh satu insiden yang telahpun diperjelaskan serta disusuli permohonan maaf.
Beliau berkata sejak penubuhan Kerajaan MADANI, pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi memperkasakan masyarakat India termasuk pengukuhan peranan MITRA, bantuan usahawan, pembangunan institusi pendidikan, kebajikan rumah ibadat serta inisiatif sosioekonomi.
Katanya komitmen Perdana Menteri untuk memantau secara langsung serta mengambil alih penyelarasan isu-isu berkaitan komuniti itu merupakan langkah berani dan signifikan dalam memperkukuh sistem penyampaian kerajaan.
"Dengan pemantauan di peringkat tertinggi, proses pelaksanaan dasar dan inisiatif berkaitan komuniti India dijangka menjadi lebih cekap, telus dan berfokus, sekali gus memastikan manfaatnya benar-benar sampai kepada golongan sasar," katanya.
Dalam pada itu, Anbumani turut menggesa semua pihak menghormati semangat perpaduan dan memperkukuh keharmonian antara kaum demi memastikan Malaysia kekal aman, stabil dan inklusif.
-- BERNAMA