Am 30/07/2026 03:46 PM

Berita-berita Ringkas Dewan Negara: 30 Julai

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Berita-berita Ringkas Dewan Negara: 30 Julai

STRIDE, ATM MUKTAMADKAN STRATEGI PEMBANGUNAN DRON PERTAHANAN - ADLY

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang memuktamadkan Strategi Pembangunan Dron Pertahanan Negara (SPDPN), Dewan Negara diberitahu hari ini. 

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata kerajaan komited untuk terus membangunkan keupayaan industri pertahanan tempatan dan meningkatkan penggunaan teknologi tempatan bagi memperkukuh pemantauan kawasan maritim serta sempadan negara, termasuk di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Ahmad Ibrahim mengenai status pembangunan industri pertahanan tempatan dalam bidang teknologi strategik serta sasaran jangka panjang kerajaan.

Adly berkata perancangan perolehan fasa kedua sistem pesawat tanpa pemandu (UAS) ANKA dari Turkiye bukan sahaja bertujuan meningkatkan keupayaan operasi ATM, malah akan dimanfaatkan menerusi Program Kolaborasi Industri (ICP) untuk memperkukuh industri pertahanan tempatan.

Beliau berkata TUSAS Malaysia Sdn Bhd dikenal pasti sebagai rakan pelaksana teknikal (Technical Delivery Partner) bagi pembangunan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) nasional menerusi pemindahan teknologi kepada syarikat tempatan.

-- BERNAMA

 

KPKM KEKAL STOK PENIMBAL BERAS MELEBIHI ENAM BULAN HADAPI RISIKO EL NINO

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan terus mengekalkan stok penimbal beras negara pada paras melebihi enam bulan sebagai langkah utama memastikan bekalan makanan kekal mencukupi sekiranya fenomena El Nino berlarutan.

Timbalan Menterinya Datuk Chan Foong Hin berkata dasar itu dikekalkan tanpa mengira keadaan cuaca bagi menjamin keterjaminan makanan negara, di samping pelaksanaan pelbagai langkah kesiapsiagaan dan mitigasi untuk mengurangkan impak fenomena berkenaan terhadap sektor agromakanan.

"Untuk stok penimbal, kita sentiasa memastikan kecukupan stok penimbal beras yang berada di negara ini sentiasa melebihi enam bulan. Tidak kira ada El Nino atau tidak … itulah dasar yang kita kekalkan bagi stok penimbal ini," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Mohd Zaini Salleh yang ingin mengetahui sama ada kementerian mempunyai pelan kontingensi termasuk pegangan stok penimbal bagi bekalan makanan asas sekiranya El Nino menjejaskan pengeluaran tempatan.

Chan berkata bagi membantu petani yang terjejas akibat kemarau atau perubahan iklim, kerajaan menyediakan Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) yang dilancarkan pada September 2024 bersama Agrobank, dengan pampasan hingga RM3,000 sehektar kepada pengusaha padi kecil yang mengalami kerosakan tanaman akibat bencana.

-- BERNAMA 

 

CADANGAN PENUBUHAN SKN DIBAWA KE KABINET UNTUK DIMUKTAMADKAN - AGO DAGANG 

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Cadangan penubuhan Suruhanjaya Keharmonian Nasional (SKN) akan dibawa ke Kabinet untuk dimuktamadkan sama ada disahkan penubuhannya atau memadai dengan menambah baik undang-undang sedia ada. 

Menteri Perpaduan Negara Datuk Seri Aaron Ago Dagang berkata perkara itu diputuskan susulan siri sesi libat urus yang menerima pelbagai maklum balas dan cadangan daripada pelbagai pihak berkepentingan di seluruh negara. 

“Antara pilihan yang akan dipertimbangkan Kabinet termasuk meneruskan cadangan penubuhan SKN atau menambah baik undang-undang sedia ada di bawah KDN, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini. 

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Che Alias Hamid berhubung usaha penyelarasan mekanisme keharmonian nasional. 

-- BERNAMA 

 

RM7.57 JUTA BAGI PENDIGITALAN 3,066 USAHAWAN DESA - RUBIAH

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Sebanyak RM7.57 juta diperuntukkan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta agensi di bawahnya bagi melatih dan membantu sebanyak 3,066 usahawan desa menggunakan teknologi digital dalam perniagaan tahun ini.

Timbalan Menterinya Datuk Rubiah Wang berkata program berkenaan dilaksanakan oleh KKDW, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan FELCRA Berhad.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Sheikh 'Umar Bagharib Ali mengenai langkah memperkukuh ekonomi luar bandar melalui pendigitalan usahawan desa, koperasi serta perusahaan mikro pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

Rubiah berkata peruntukan itu melibatkan Program MOFA, Bangkit Desa, program pemasaran digital KEMAS, DIGITALBIZ, BizNetwork serta kursus pendigitalan anjuran RISDA dan FELCRA, dengan RM6 juta daripadanya diperuntukkan MARA bagi DIGITALBIZ dan BizNetwork yang menyasarkan 770 usahawan.

Menjawab soalan tambahan Sheikh 'Umar mengenai penglibatan golongan muda, beliau berkata 490 daripada 1,000 peserta Program Pendigitalan Usahawan Desa tahun lepas berusia antara 15 hingga 40 tahun, namun KKDW belum mempunyai data khusus mengenai jumlah belia yang terus menetap di desa susulan peluang ekonomi digital.

-- BERNAMA