KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Yayasan YTL melancarkan Ilmu Fellowship, program kepimpinan nasional selama 10 bulan bagi memupuk barisan pemimpin yang dipacu nilai dalam kalangan sektor awam, swasta dan masyarakat untuk memperkukuh kerjasama rentas sektor dan pembangunan negara.
Pengarah Program Yayasan YTL Datuk Kathleen Chew berkata fellowship berkenaan dirangka khusus bagi menangani keperluan mendapatkan pemimpin berprinsip yang mampu bekerja merentasi pelbagai sektor di tengah-tengah landskap global yang semakin rumit dan berpecah-belah.
“Kita perlu melibatkan kerajaan selain masyarakat awam. Oleh itu, menerusi fellowship kita berharap dapat menghimpunkan kesemua mereka mewakili tiga sektor itu yang dapat saling membangun bersama, bekerjasama dan bertanggungjawab antara satu sama lain sepanjang mengharungi perjalanan sebagai pemimpin,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran program itu di sini, hari ini.
Chew berkata program itu juga bertujuan membina hubungan jangka panjang dalam kalangan pemimpin di peringkat awal kerjaya masing-masing dan membolehkan mereka saling memahami perspektif dengan lebih baik serta bekerjasama demi masa depan negara.
Beliau turut menyifatkan program itu sebagai berbeza daripada kursus kepimpinan konvensional kerana menekankan aspek pembentukan nilai murni dan tujuan hidup peserta, bukan setakat melengkapkan mereka dengan kemahiran teknikal kepimpinan.
Para peserta, katanya, akan mengikuti pembelajaran menerusi inisiatif seperti Good Society Readings yang menggalakkan mereka membincangkan idea mengenai kepimpinan dan pembinaan negara berasaskan pemikiran tokoh sejarah serta pemikir kontemporari.
Menurut YTL, kohort pertama itu melibatkan 25 peserta yang berpengalaman selama lima hingga 15 tahun daripada kerajaan, perniagaan dan masyarakat sivil yang akan mengikuti perjalanan kepimpinan selama 10 bulan, termasuk dalam program residensi selama empat hari di University Oxford.
Ilmu Fellowship yang diasaskan oleh Yayasan YTL itu merupakan hasil kerjasama Blavatnik School of Government di University Oxford, Acumen Academy, PEMANDU Associates serta perunding/jurulatih kepimpinan Alvin Ung.
Chew berkata Yayasan YTL Foundation mengambil masa kira-kira setahun bagi merangka program itu, termasuk bekerjasama dengan pihak Universiti Oxford untuk mewujudkan satu program direka khusus untuk Malaysia.
“Oxford merangka program yang khusus untuk kita; ini bukan sekadar sesuatu yang anda daftar (untuk ikuti). Mereka benar-benar merangka dan mewujudkan program itu hanya untuk kita,” katanya.
Chew berkata yayasan juga berhasrat mengendalikan fellowship itu sebagai inisiatif tahunan jangka panjang dengan matlamat membina rangkaian pemimpin yang terus berkembang serta komited berkhidmat kepada negara.
Yayasan YTL juga, katanya, berharap program itu dapat memperkukuh kepercayaan pelbagai sektor dengan menggalakkan pemimpin melihat satu sama lain sebagai rakan kerjasama berbanding saling berbeza pendapat.
“Jika kita dapat berkumpul duduk semeja, bekerjasama dan memahami masalah yang dihadapi bersama, ini akan menjadi pembuka ruang perbincangan lebih baik dan mendalam serta melihat diri masing-masing sebagai sekutu,” katanya.
Permohonan bagi program pertama itu dibuka pada 22 Jun lepas sehingga 14 Ogos ini sebelum bermula pada 30 Oktober depan.
-- BERNAMA