SEREMBAN, 27 Julai (Bernama) -- Cuaca di hampir seluruh kawasan di Negeri Sembilan dijangka baik pada sebelah pagi hari pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, esok.
Berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), majoriti daerah iaitu Seremban, Jempol, Jelebu, Kuala Pilah, Tampin dan Rembau dijangka cerah sepanjang pagi hingga tengah hari, manakala Port Dickson pula diramalkan mendung.
Pada sebelah petang pula, kebanyakan kawasan di hampir semua daerah di negeri itu dijangka mengalami hujan lebat serta ribut petir.
Esok, akan berlangsung proses pengundian awal bagi PRN itu melibatkan keseluruhan sebanyak 22,339 anggota tentera dan pasangan serta polis dan pasangan.
Daripada jumlah itu, sebanyak 16,884 anggota tentera dan pasangan serta 5,455 anggota polis dan pasangan layak mengundi pada PRN kali ini.
Kesemua 38 pusat mengundi awal dibuka serentak pada 8 pagi dan ditutup secara berperingkat mengikut lokasi dengan 18 pusat pengundian awal akan ditutup pada 12 tengah hari, dua pusat mengundi pada 2 petang, manakala baki 18 lagi ditutup 5 petang.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dibubarkan pada 5 Jun lepas dan hari pengundian ditetapkan pada 1 Ogos.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.
-- BERNAMA