Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
GLASGOW, 27 Julai (Bernama) -- Jaguh angkat berat negara Muhammad Erry Hidayat menambah koleksi pingat emas kontinjen negara selepas mengungguli kategori 79 kilogram (kg) lelaki di Sukan Komanwel Glasgow 2026 hari ini.
Ini merupakan pingat emas pertama Muhammad Erry di temasya Sukan Komanwel, sekali gus memperbaiki pencapaian perak yang diraihnya dalam kategori 73 kg pada edisi 2022 di Birmingham.
Atlet berusia 26 tahun itu melakukan angkatan keseluruhan 331 kg, iaitu 147 kg dalam snatch dan 184 kg bagi clean and jerk, sekali gus mencipta rekod baharu Sukan Komanwel.
Pingat perak dimenangi Valluri Ajaya Babu dari India yang melakukan 330 kg, hasil angkatan 149 kg (snatch) an 181 kg (clean and jerk).
Chris Murray dari England pula membawa pulang gangsa selepas melakukan 325 kg, iaitu 148 kg (snatch) dan 177 kg (clean and jerk).
Kejayaan diraih Muhammad Erry itu amat bermakna apabila beliau mengikut jejak langkah bapanya, Hidayat Hamidon yang meraih pingat emas pada Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998.
Emas diraih Muhammad Erry merupakan yang ketiga buat kontinjen Malaysia selepas Mohamad Aniq Kasdan dan Muhamad Aznil Bidin masing-masing mengungguli kategori 60 kg dan 65 kg pada Ahad.
-- BERNAMA