Am 27/07/2026 11:21 PM

Lelaki Cedera Ditembak Dalam Cubaan Bunuh Di Simpang Ampat

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Lelaki Cedera Ditembak Dalam Cubaan Bunuh Di Simpang Ampat

NIBONG TEBAL, 27 Julai (Bernama) -- Seorang lelaki tempatan cedera ditembak dalam kejadian cubaan bunuh di kawasan perniagaan Seri Tambun, Simpang Ampat di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Jay January Siowou berkata dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, mangsa berusia 37 tahun mengalami kecederaan pada lengan kanan dan telah dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk menerima rawatan.

“Siasatan di tempat kejadian telah dijalankan dan beberapa bahan bukti ditemui bagi membantu siasatan

“Motif kejadian juga masih dalam siasatan dan polis sedang meneliti semua sudut bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.

Jay January berkata kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh serta Seksyen 39 Akta Senjata 1960.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes ASP Mohd Rizal Abd Rashid di talian 019-8282212 atau menyalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran.

-- BERNAMA