PRN Johor: Pengerusi SPR Tinjau Proses Pengundian Di Empat Pusat Mengundi
JOHOR BAHRU, 11 Julai (Bernama) -- Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun hari ini turun padang meninjau proses pengundian di empat pusat mengundi sekitar bandar raya ini bagi memastikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berlangsung dengan lancar dan teratur.
Beliau memulakan siri lawatan di Dewan Raya Taman Ungku Tun Aminah bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai yang mempunyai tujuh saluran mengundi kira-kira 8.50 pagi tadi.
Tinjauan beliau kemudiannya diteruskan ke Perpustakaan Raja Zarith Sofiah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi DUN Senai (dua saluran), diikuti Sekolah Agama Taman Bukit Mewah di DUN Kempas (enam saluran), sebelum berakhir di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Uda Utama bagi DUN Perling yang menempatkan sembilan saluran mengundi.
Dalam lawatan itu, Ramlan turut diberikan taklimat oleh pegawai pilihan raya mengenai kelancaran proses pengundian, selain meluangkan masa meninjau kemudahan yang disediakan untuk para pengundi dan petugas.
Satu sidang media dijadualkan berlangsung selepas berakhirnya siri tinjauan berkenaan.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- PRN Johor: Belia Pertama Kali Mengundi Mahu Wakil Rakyat Buat Kerja, Tunai Janji
- PRN Johor: Kadar Keluar Mengundi Cecah 26.43 Peratus Setakat 11 Pagi - Pengerusi SPR
- Aspirasi Golongan Muda Perlu Difahami Dalam Mendepani Cabaran Bina Keluarga - KPWKM
- Tun Ramli Harap Kerajaan Persekutuan Pertimbang Bina Dewan Istiadat Pulau Pinang
- Fahmi Fadzil Terima Darjah DPPN, Bergelar Datuk Seri