Menteri, Timbalan Menteri Tunai Tanggungjawab Mengundi Pada PRN Johor
JOHOR BAHRU, 11 Julai (Bernama) -- Beberapa menteri dan timbalan menteri selesai menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 pagi ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said menjadi antara pemimpin terawal selesai mengundi apabila menunaikan tanggungjawabnya pada 8.15 pagi di Sekolah Kebangsaan Bandar Penawar, Pengerang.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula selesai mengundi pada 8.30 pagi di Sekolah Kebangsaan Rinting 1, Masai, di sini.
Turut menunaikan tanggungjawab pada sebelah pagi ialah Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang selesai mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Onn, Batu Pahat pada 8.50 pagi.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan selesai mengundi pada 8.40 pagi di Sekolah Kebangsaan Seri Bahagia, Benut.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching pula selesai mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kulai Besar pada 9.30 pagi selepas 10 minit tiba di pusat berkenaan.
Sebanyak 1,076 pusat mengundi membabitkan 4,889 saluran bagi PRN Johor dibuka serentak bermula 8 pagi ini, bagi membolehkan rakyat negeri itu memilih kerajaan baharu untuk penggal akan datang.
Proses pengundian yang melibatkan 2.7 juta pemilih berdaftar itu dijadualkan berlangsung hingga 6 petang ini, selepas berakhirnya tempoh berkempen selama 14 hari pada tengah malam tadi.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- PRN Johor: Belia Pertama Kali Mengundi Mahu Wakil Rakyat Buat Kerja, Tunai Janji
- PRN Johor: Kadar Keluar Mengundi Cecah 26.43 Peratus Setakat 11 Pagi - Pengerusi SPR
- Aspirasi Golongan Muda Perlu Difahami Dalam Mendepani Cabaran Bina Keluarga - KPWKM
- Tun Ramli Harap Kerajaan Persekutuan Pertimbang Bina Dewan Istiadat Pulau Pinang
- Fahmi Fadzil Terima Darjah DPPN, Bergelar Datuk Seri