11/07/2026 10:48 AM

PRN Johor: Onn Hafiz Selesai Mengundi

JOHOR BAHRU, 11 Julai (Bernama) -- Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Renggam pada 8.33 pagi hari ini.

Berbaju Melayu putih dan bersongkok, penyandang kerusi tumpuan Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap itu antara muka awal yang tiba di pusat mengundi pada 8.05 pagi.

Sebelum memasuki saluran 4 untuk melaksanakan tanggungjawabnya, Onn Hafiz yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor meluangkan masa beramah mesra dan menyapa pengundi lain yang sedang menunggu giliran.

Onn Hafiz yang bertanding penggal kedua pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 berdepan pencabar tunggal Nur Hafiz Roslan daripada Pakatan Harapan (PH). 

Ketika ditemui media selepas mengundi, Onn Hafiz menyeru orang ramai untuk keluar segera bagi menunaikan tanggungjawab demokrasi masing-masing bagi memastikan kelancaran proses hari ini.

Sementara itu, calon PH bagi DUN Puteri Wangsa Dr Maszlee Malik tiba di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tuan Poon, Simpang Renggam pada 8.58 pagi untuk mengundi. 

Dalam persaingan lima penjuru, bekas Menteri Pendidikan itu akan ditentang Rashifa Aljunied daripada parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Teow Chia Ling (BN), Nicholas Paul Vincent (Parti Bersama Malaysia) dan Wang Wee Siong (Bebas).

Sementara itu, antara calon tumpuan bagi DUN Larkin, Suhaizan Kayat daripada PH selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Melati di sini, pada 8.45 pagi.

Pencabarnya daripada BN yang merupakan penyandang kerusi tersebut, Mohd Hairi Mad Shah, turut selesai menunaikan tanggungjawab mengundi di SK Tanjung Puteri kira-kira  9.30 pagi.

Dalam pada itu, seorang lagi antara calon 'kerusi panas' Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar yang bertanding di DUN Senggarang, hadir meninjau proses pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senggarang seawal 8.30 pagi.

-- BERNAMA