10/07/2026 03:06 PM

PRN Johor : Saat Penentuan Bermula Esok, Dari Pentas Ke Peti Undi

Oleh Yasmin Ahmad Zukiman

JOHOR BAHRU, 10 Julai (Bernama) -- Selepas dua minggu 'demam' pilihan raya menghangatkan negeri selatan tanah air ini, tirai kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 akan dilabuhkan tepat 11.59 malam ini, sekali gus menamatkan segala aktiviti merayu undi sama ada secara fizikal mahupun di alam maya.

Bermula 8 pagi esok, tumpuan terarah kepada 1,076 pusat mengundi bagi membolehkan 2.7 juta pemilih menentukan mandat 56 kerusi daripada 172 calon bertanding, iaitu jumlah yang lebih kecil berbanding 239 calon pada PRN 2022.

Segala strategi dan manifesto yang mewarnai kempen sejak 27 Jun lepas kini berada di tangan pengundi untuk mencorak pentadbiran negeri serta masa depan Johor bagi tempoh lima tahun akan datang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan keputusan penuh dapat diketahui seawal 10 malam esok, manakala pemilih berdaftar dinasihatkan agar menyemak lokasi pusat mengundi dan saluran lebih awal bagi melancarkan proses pengundian.

Fasa penting proses demokrasi ini telahpun menyaksikan pengundian awal selesai Selasa lepas membabitkan 20,607 pengundi terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan.

Sepanjang tempoh kempen, parti politik yang bertanding menawarkan pelbagai pelan strategik yang memfokuskan kepada isu kos sara hidup, pemulihan ekonomi, peluang pekerjaan serta kebajikan rakyat dalam usaha memikat hati rakyat.

Kehadiran pimpinan tertinggi negara termasuk Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di lapangan malam tadi merupakan pecutan terakhir bagi memperkukuh keyakinan pengundi.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Sosial Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Dr Nazreena Mohammed Yasin berpendapat, peratusan keluar mengundi esok akan menjadi kayu ukur utama sejauh mana sokongan yang dibina sepanjang kempen berjaya diterjemahkan kepada undi.

"Kesan kadar keluar mengundi tidak boleh ditafsir secara umum kerana impaknya berbeza mengikut kawasan dan profil pengundi, di mana peningkatan penyertaan mungkin memberi kelebihan kepada pihak tertentu atau tidak membawa perubahan ketara di kawasan lain.

“Oleh itu, kadar keluar mengundi lebih sesuai dilihat sebagai faktor yang boleh mempengaruhi dinamika persaingan khususnya di kerusi marginal, berbanding dianggap sebagai penentu mutlak kemenangan mana-mana parti,” katanya.

Peratusan keluar mengundi keseluruhan bagi PRN Johor ke-15 pada 2022 adalah 54.92 peratus.

Mengulas lanjut, Nazreena berkata keberkesanan jentera parti dalam menggerakkan penyokong serta keupayaan mengurus operasi hari pengundian akan menjadi faktor kritikal dalam pembentukan kerajaan negeri, terutama di kawasan yang menyaksikan saingan sengit.

Beliau turut menarik perhatian mengenai peranan pengundi atas pagar yang sering membuat keputusan pada saat akhir, memandangkan pilihan mereka mampu mengubah majoriti kemenangan di kerusi yang mempunyai jurang kemenangan tipis.

Katanya, perubahan majoriti kemenangan atau kekalahan di setiap kerusi juga penting kerana ia memberi gambaran sama ada sokongan terhadap sesuatu parti semakin kukuh berbanding dahulu, semakin berkurangan atau berlaku peralihan sokongan dalam kalangan pengundi.

"Keputusan pilihan raya juga boleh dinilai dari perspektif kepercayaan pengundi terhadap prestasi pentadbiran, kredibiliti calon, kestabilan politik serta keupayaan parti menawarkan penyelesaian kepada isu ekonomi dan kos sara hidup,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Madya Dr Mazlan Ali melihat persaingan PRN Johor kali ini memperlihatkan perubahan rentak dengan gabungan utama menumpukan usaha membina keyakinan menerusi naratif kestabilan politik

“Saya melihat naratif kempen didominasi BN dan PH berikutan rekod cemerlang kedua-dua gabungan itu di peringkat persekutuan serta negeri, selain status mereka sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Mazlan berkata walaupun setiap parti mengemukakan manifesto dan tawaran kepada rakyat, pertimbangan pengundi kini lebih banyak dipengaruhi oleh rekod pentadbiran serta keupayaan sesebuah kerajaan melaksanakan dasar dan menunaikan janji yang pernah dibuat.

Beliau juga menjangkakan perhatian luar biasa terhadap PRN Johor kali ini mampu menyumbang kepada kadar keluar mengundi yang lebih tinggi, sekali gus menjadikan setiap undi lebih signifikan dalam menentukan hala tuju negeri.

PRN Johor ke-16 menyaksikan BN dan PH masing-masing mempertaruhkan 56 calon, diikuti Perikatan Nasional (33), Parti Bersama Malaysia (15), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (empat), manakala Parti Orang Asli Malaysia dan Parti Sosialis Malaysia masing-masing satu calon, selain penyertaan enam calon Bebas.

Sebelum pembubaran DUN pada 1 Jun lepas, BN menguasai 40 kerusi diikuti PH (12),  PN (tiga), manakala MUDA satu kerusi. 

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/

-- BERNAMA