PRN Johor: SPR Jangka Peratusan Keluar Mengundi Cecah 70 Peratus
PONTIAN, 10 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor esok mampu mencecah kira-kira 70 peratus didorong minat yang tinggi rakyat untuk mengambil bahagian dalam proses demokrasi.
Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata unjuran itu dibuat berdasarkan sambutan sepanjang tempoh berkempen, yang menunjukkan keterujaan orang ramai untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
"Kita melihat ada kecenderungan, minat mengundi pada kali ini agak tinggi, dengan kempen-kempen yang berterusan SPR menjangkakan turnout boleh mencapai kira-kira 70 peratus," katanya kepada pemberita selepas meninjau proses semakan peti undi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian dan Dewan Serbaguna Permas, Kukup di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ramlan berkata selain faktor kempen yang rancak, kesedaran rakyat terhadap kepentingan proses pilihan raya turut menjadi pemangkin kepada jangkaan berkenaan.
"Saya rasa (terdapat) keseronokan yang tinggi dalam kalangan rakyat sejak akhir-akhir ini (dan) minat untuk turut terlibat dalam proses ini," katanya.
Ramlan berkata kira-kira 2.7 juta pengundi layak mengundi pada PRN Johor kali ini, yang melibatkan 1,076 pusat mengundi dan 4,889 saluran di seluruh negeri.
Beliau berkata proses pengundian akan bermula pada 8 pagi dengan waktu penutupan pusat mengundi berbeza mengikut lokasi, manakala sebahagian besar pusat mengundi akan ditutup pada 6 petang.
"Ada yang ditutup pada 11 pagi, iaitu paling awal di Pulau Besar, kira-kira setengah jam dari Mersing. Pada 12 tengah hari, kita ada dua tempat, iaitu di Pulau Aur dan Pulau Pemanggil.
"Terdapat 17 pusat mengundi yang ditutup pada 2 petang, sebanyak 42 pusat ditutup pada 4 petang.dan 1,114 pusat ditutup pada 6 petang," katanya.
Beliau berkata sebanyak 43,036 petugas telah digerakkan bagi mengendalikan proses pengundian, manakala sebanyak 24,677 kertas undi pos telah dikeluarkan dan perlu diterima semula sebelum 6 petang esok.
Beliau berkata SPR turut memberikan jaminan aspek logistik, termasuk penghantaran peti undi dari kawasan pulau, telah dirancang rapi dengan pelan kontingensi serta kerjasama polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menghadapi sebarang situasi luar jangka.
Bagi mendapatkan berita terkini PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.
-- BERNAMA
Berita terkini
- Piala AFF Wanita: Malayan Tigress Ikat Laos 1-1
- Imam Masjid Nabawi Ingatkan Bahaya Ketagihan Skrin, Seru Rekreasi Secara Seimbang
- Abang Johari Mahu Sibu Jadi Bandar Pintar Rendah Karbon
- Anwar Kesal Serangan Sanusi, Tegas Tidak Pinggir Pembangunan Kedah
- Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah Susulan Stok Meningkat, Prestasi Eksport Lemah