KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Wilayah Hebei di China menjadi destinasi pilihan utama skuad terjun negara bagi menjalani kem latihan terakhir menjelang Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun dari 19 Sept hingga 4 Okt.
Pengarah teknikal skuad terjun negara Yeoh Ken Nee berkata perancangan itu kini menunggu kelulusan rasmi Majlis Sukan Negara dan jika dibenarkan, mereka dijadualkan menjalani latihan antara dua hingga tiga minggu di situ.
“Destinasi itu dipilih kerana kemudahannya yang lengkap serta persekitaran yang bebas gangguan, membolehkan atlet memberikan fokus sepenuhnya kepada latihan.
“Kemudahan di Hebei semua dalam satu dengan kolam yang berhampiran tempat penginapan dan dewan makan menjimatkan masa untuk berulang-alik ke tempat latihan,” katanya kepada Bernama.
Ken Nee berkata kelab terjun di Hebei itu juga tidak asing bagi skuad negara kerana pernah menjalani latihan di situ sebanyak tiga kali sebelum ini.
Dalam pada itu, pemenang pingat Sukan Asia enam kali itu mengakui pilihan destinasi kem latihan agak terhad kerana tindakan beberapa negara di rantau ini yang menutup pintu kepada pasukan luar menjelang edisi ke-20 temasya tersebut.
Skuad terjun negara mempertaruhkan 10 penerjun untuk membawa cabaran Malaysia pada Sukan Asia itu.
Mereka termasuk Bertrand Rhodict Lises, Muhammad Syafiq Puteh, Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim dan Yong Rui Jie bagi skuad lelaki.
Skuad wanita pula dibarisi ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong selain Lee Yiat Qing, Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj dan Ong Ker Ying.
Pada edisi lepas di Hangzhou, China, skuad terjun negara membawa pulang satu perak dan empat gangsa.
-- BERNAMA