09/07/2026 11:31 AM

PRN Johor: Polis Lulus 4,053 Permohonan Permit Ceramah, Kempen

JOHOR BAHRU, 9 Julai (Bernama) -- Sebanyak 4,053 daripada 4,368 permohonan permit bagi penganjuran ceramah dan aktiviti kempen politik sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 diluluskan bagi tempoh 27 Jun hingga semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata bagi tempoh 7 Julai hingga semalam sahaja, pihaknya menerima 884 permohonan permit, dengan 838 daripadanya diluluskan selepas memenuhi syarat ditetapkan.

Beliau berkata situasi keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang proses PRN Johor ke-16 setakat ini adalah terkawal dan berada pada tahap baik.

“Kesemua program dan aktiviti politik yang telah diadakan dipantau polis bagi memastikan penganjurannya mematuhi undang-undang serta tidak menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ab Rahaman berkata bagi tempoh 7 Julai hingga semalam juga, sebanyak 17 laporan polis telah diterima dengan empat kertas siasatan berkaitan kesalahan pilihan raya dibuka. 

Beliau berkata kertas siasatan itu melibatkan satu kes di bawah Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berkaitan kesalahan mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan.

“Satu kertas siasatan lagi dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan fitnah serta penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.

“Dua lagi pula di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat sehingga menyebabkan kehilangan atau kerugian harta benda,” katanya.

Secara kumulatif, beliau berkata sepanjang tempoh 27 Jun hingga semalam, polis menerima 73 laporan polis dan membuka 22 kertas siasatan berkaitan kesalahan pilihan raya.

Beliau berkata sebarang pelanggaran undang-undang akan diambil tindakan secara tegas, adil dan berintegriti tanpa kompromi.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/

-- BERNAMA