09/07/2026 11:11 AM

Konsep "Hari-hari Hari Raya" Jadi Tarikan Restoran Di Pontian, Gamit Kenangan Syawal

Oleh Nur Fadhliana Shaari

PONTIAN, 9 Julai (Bernama) -- Bagi kebanyakan orang, ketupat, rendang dan lagu raya hanya sinonim dengan sambutan Aidilfitri, tetapi berbeza bagi Faridah Hanim Md Tahir apabila kemeriahan Syawal itu menjadi identiti perniagaan yang dihidupkan sepanjang tahun menerusi konsep "Hari-Hari Hari Raya".

Keputusan wanita berusia 57 tahun itu mempertaruhkan hidangan hari raya sebagai konsep utama restorannya bukanlah satu langkah mudah, malah pada awalnya ramai mempersoalkan sama ada idea itu mampu bertahan atau berkubur begitu sahaja.

Bagaimanapun, berbekalkan keyakinan bahawa kelainan mampu menjadi tarikan, Faridah terus mempertahankan konsep berkenaan hingga Restoran Selera Tradisi Catering miliknya kini menjadi antara lokasi pilihan pengunjung yang mahu menikmati suasana seolah-olah berada pada pagi Syawal di Pontian.

“Mi goreng, tomyam semua orang jual. Saya nak buat lain daripada yang lain, Alhamdulillah ia diterima hingga sekarang. Berkat kesabaran lama-lama orang mula kenal dan bila orang tahu konsep hari-hari raya ini, mereka datang semula dan bawa rakan-rakan,” katanya kepada Bernama.

Ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 berlangsung, restoran itu turut menjadi satu daripada lokasi persinggahan pelbagai lapisan masyarakat termasuk petugas media, anggota keselamatan, jentera parti dan penyokong politik yang singgah menikmati hidangan tradisional.

“Musim pilihan raya memang lebih meriah. Dulu ketika Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai pun ramai yang singgah makan. Bagi saya, orang politik daripada mana-mana parti pun tidak mengapa kerana kita berniaga, semua pelanggan kita layan sama,” katanya.

Ibu kepada lima anak itu berkata konsep makanan raya itu bukan sahaja menarik pelanggan Melayu, malah turut mendapat sambutan daripada masyarakat Cina dan India yang turut menikmati hidangan tradisional berkenaan.

Mengimbau perjalanan perniagaannya, Faridah berkata restoran itu mula beroperasi di hadapan Hospital Pontian sebelum berpindah ke lokasi sekarang kira-kira sedekad lepas setelah 16 tahun berniaga di premis pertama.

Beliau berkata tiga bulan pertama merupakan tempoh paling mencabar apabila sambutan pelanggan masih perlahan hingga ketupat yang disediakan tidak habis dijual meskipun ketika itu hanya merebus sekitar 50 biji ketupat sehari.

Faridah berkata berbanding sekarang, jumlah tersebut meningkat kepada ratusan biji, terutama pada hujung minggu selain terdapat 10 jenis lauk tradisional seperi rendang ayam dan daging, daging ungkep, kari ayam, kari kambing, kurma ayam, sambal kacang, serunding dan lodeh, serta burasak dan nasi beriani sebagai hidangan sampingan.

“Antara menu yang mendapat sambutan ialah rendang ayam, kari kambing dan asam pedas ikan parang yang lazimnya dinikmati bersama burasak. Pada hujung minggu, hampir 600 hingga 700 biji ketupat serta kira-kira 100 bungkus burasak habis dijual.

“Setiap hari pula kita memasak sekitar 30 kilogram daging dan menggunakan antara 25 hingga 30 ekor ayam untuk memenuhi permintaan pelanggan,” katanya yang mempunyai lapan pekerja diketuai anak sulungnya, Qistina Nabila Mohd Sabri.

Faridah berkata resipi yang digunakan di restoran itu hasil olahannya sendiri dan setiap pekerja perlu mengikuti sukatan serta kaedah penyediaan yang sama bagi memastikan rasa hidangan kekal konsisten.

Beliau berkata kepuasan terbesar bukan sekadar melihat restoran dipenuhi pelanggan tetapi apabila ada yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk menikmati hidangan "Hari-Hari Hari Raya".

“Ada pelanggan beritahu, kalau datang Pontian tidak makan di sini rasa macam tidak lengkap perjalanan mereka. Itulah yang buat saya terus bersemangat untuk kekalkan konsep hari-hari hari raya ini,” katanya.

-- BERNAMA