PRN Johor: Ayna Soraya Mahu Jadikan Pantai Seri Menanti Hab Riadah
MUAR, 8 Julai (Bernama) -- Potensi semula jadi Pantai Seri Menanti di sini bakal ditransformasikan sebagai hab riadah memancing belia yang lebih terancang dan dinamik bagi memperkasakan aktiviti golongan muda serta merancakkan ekonomi setempat.
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang, Ayna Soraya Badaruddin berkata sekiranya diberi mandat, pembangunan berfokus yang akan dilakukan di pesisir pantai tersebut dilihat mampu menyediakan ruang aktiviti sihat buat golongan muda, selain bertindak sebagai ejen penjana pendapatan tambahan kepada penduduk sekitar.
Beliau berkata selain menyajikan pemandangan yang menarik, kawasan pantai berkenaan sememangnya sudah lama menjadi lokasi tumpuan popular bagi aktiviti rekreasi memancing, khususnya dalam kalangan anak muda dari seluruh kawasan Sungai Balang.
"Mungkin kita boleh buka satu kawasan 'healing' (rehat minda) atau untuk anak muda berkumpul dan melepaskan tekanan. Kita boleh adakan konsep tapak perkhemahan mini untuk mereka menikmati suasana dan pemandangan yang indah," katanya menerusi klip video di laman Facebook beliau hari ini.
Melihat kehadiran komuniti yang konsisten di kawasan itu, Ayna Soraya menggariskan beberapa langkah strategik termasuk menaik taraf kemudahan asas serta menyediakan platform memancing yang lebih selamat untuk pengunjung.
Beliau turut berhasrat mewujudkan ruang niaga khusus bagi usahawan muda tempatan merancakkan aktiviti perniagaan rekreasi dan merancang penganjuran pertandingan memancing bertaraf zon atau daerah secara berkala bagi menarik kehadiran pelancong luar.
Rancangan pembangunan berstruktur itu, katanya secara tidak langsung bakal mengangkat destinasi berkenaan sebagai satu daripada aset pelancongan domestik utama yang wajar dibanggakan oleh seluruh warga Sungai Balang.
Pada PRN kali ini, Ayna Soraya berdepan persaingan tiga penjuru menentang penyandang kerusi DUN Sungai Balang, Selamat Takim daripada Barisan Nasional (BN) dan calon Perikatan Nasional (PN) Muhammad Amin Sailan.
Secara keseluruhan, PRN Johor ke-16 menyaksikan 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN yang akan ditentukan oleh 2,727,926 pemilih layak pada Sabtu ini.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.
-- BERNAMA
N16: SUNGAI BALANG: 31,039
1. Selamat Takim (BN-UMNO)
2. Muhammad Amin Sailan (PN-PAS)
3. Ayna Soraya Badaruddin (PH-PKR)
(2022: Selamat Takim: BN-UMNO: Maj: 2,293)
Kata kunci
Berita terkini
- Ringgi Ditutup Tinggi Berbanding Mata Wang Utama, Rendah Berbanding Dolar AS
- Minit Muhyiddin Adalah Arahan Perlu Dipertimbangkan, Ambil Tindakan - Tengku Zafrul
- Piala Dunia Taolu: Cheong Min Ungguli Nangun, Pui Yee Raih Perak Qiangshu
- SPR Galak Pengundi Tukar Alamat Mengundi Ke Tempat Bermastautin
- Mesir Mahu Pasukan Pengadil Digantung Sepanjang Baki Piala Dunia