08/07/2026 03:42 PM

Cikgu Yeo Kesal BN Tangguh Projek Pembinaan Jalan Pintas Pekan Nanas–Ulu Choh

PONTIAN, 8 Julai (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas, Yeo Tung Siong mendakwa projek pembinaan jalan pintas alternatif dari Jalan Sawah, Pekan Nanas ke Ulu Choh terus tertangguh berikutan tindakan kerajaan negeri memberikan keutamaan kepada projek lain.

Beliau berkata projek berkenaan amat penting bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas yang telah lama dihadapi penduduk Pekan Nanas, namun pelaksanaannya beberapa kali ditangguhkan.

Yeo, yang lebih dikenali sebagai Cikgu Yeo berkata ketika berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu bagi penggal 2018 hingga 2022, beliau telah berulang kali membangkitkan cadangan berkenaan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri Johor.

Usaha itu, katanya, membolehkan projek tersebut dimasukkan dalam Belanjawan Johor 2021 di bawah pakej Prasarana Johor bagi pembinaan jalan raya dan jambatan, sebelum proses pengambilan tanah dimulakan.

"Bagaimanapun, berdasarkan jawapan kerajaan negeri di Dewan Negeri pada 2024, projek itu ditangguhkan pada 2023 dan 2024 berikutan kenaikan kos pembinaan serta keperluan memohon peningkatan siling projek, selain memberikan keutamaan kepada projek lain," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Yeo turut mempersoalkan alasan penangguhan tersebut memandangkan kerajaan negeri dilaporkan mencatat lebihan fiskal berjumlah RM95.38 juta pada 2024.

Beliau mendakwa kelewatan pelaksanaan projek itu menyebabkan kenderaan berat termasuk lori pasir terpaksa terus menggunakan Jalan Sawah, sekali gus memburukkan lagi kesesakan dan menjejaskan urusan harian penduduk.

Sehubungan dengan itu, beliau merayu kepada pengundi di Pekan Nanas agar memberikan mandat kepadanya untuk kembali mewakili kawasan berkenaan bagi membolehkan beliau memantau dan memperjuangkan pelaksanaan jalan pintas tersebut sehingga selesai.

DUN Pekan Nanas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini menyaksikan saingan satu lawan satu antara Yeo dengan penyandang kerusi itu, Tan Eng Meng daripada Barisan Nasional (BN).

Secara keseluruhan, PRN Johor ke-16 menyaksikan 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN yang akan ditentukan oleh 2,727,926 pemilih layak pada Sabtu ini.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.  

-- BERNAMA

 

N55: Pekan Nanas - 37,556 pengundi

1. Yeo Tung Siong (PH-DAP)

2. Tan Eng Meng (BN-MCA)

(2022: Tan Eng Meng, BN-MCA, majoriti 4,835)