Akta ILTIZAM Bakal Tingkat Integriti, Ketelusan Sektor Awam, Perkukuh Indeks Persepsi Rasuah
Oleh Thivyamalini Ramalu
PUTRAJAYA, 8 Julai (Bernama) -- Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 (Akta ILTIZAM) (Akta 867) dijangka dapat memperkukuh usaha meningkatkan kecekapan, ketelusan dan integriti sektor awam, selain membantu mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) secara berperingkat.
Pengarah Bahagian Reformasi Sektor Awam Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Syuhaida Abdul Wahab Zen berkata pelaksanaan akta ini menampakkan kesan positif kepada skor CPI negara dalam usaha kerajaan membina perkhidmatan awam bertaraf dunia yang telus dan berintegriti bagi menyuntik keyakinan tinggi rakyat, komuniti perniagaan dan pelabur.
“(Walaupun) kita tidak boleh mengatakan bahawa Akta ILTIZAM semata-mata telah menyumbang kepada peningkatan skor CPI negara. Namun, kita (akan) melihat kesannya dari sudut peningkatan keyakinan rakyat, pelabur dan komuniti perniagaan apabila wujud satu kerangka perundangan yang jelas dan komitmen kerajaan untuk terus menambah baik penyampaian perkhidmatan,” katanya Bernama baru-baru ini.
Bagaimanapun, katanya, kesan itu dijangka berlaku secara berperingkat dan bukannya dalam sekelip mata.
Syuhaida berkata akta tersebut memberi tumpuan kepada tiga aspek utama iaitu meningkatkan kecekapan, memperkukuh integriti dan memastikan perkhidmatan kerajaan lebih dinamik serta tangkas selaras dengan kemajuan teknologi.
“Kecekapan bermaksud kita mengurangkan proses yang tidak perlu dan urusan rakyat menjadi lebih pantas. Dari segi integriti pula, setiap dasar dan peraturan perlu dilaksanakan secara telus berdasarkan nilai murni, manakala aspek dinamik memastikan perkhidmatan kerajaan sentiasa berubah mengikut keperluan semasa,” katanya.
Beliau berkata antara keunikan Akta ILTIZAM ialah menyediakan kerangka perundangan merangkumi semua entiti kerajaan, sekali gus menjadikan usaha penambahbaikan penyampaian perkhidmatan sebagai satu obligasi.
Di bawah akta tersebut, kementerian dan agensi kerajaan diwajibkan menilai semula proses kerja secara berkala setiap tiga tahun untuk mengenal pasti ruang penambahbaikan termasuk mengurangkan tatacara tidak relevan, memperluas penggunaan teknologi digital serta mempercepat proses membuat keputusan.
“Pendekatan ini akan menjimatkan masa dan kos rakyat, malah meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap keupayaan kerajaan menyediakan perkhidmatan yang benar-benar memenuhi keperluan semasa,” katanya.
Syuhaida berkata semua kementerian dan agensi kerajaan turut diwajibkan mengemukakan laporan prestasi perkhidmatan yang akan dinilai berdasarkan tiga dimensi utama iaitu pengurusan organisasi, pendigitalan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Laporan itu bukan sahaja dinilai, malah akan dibawa kepada perhatian Parlimen. Bila Parlimen maklum, maknanya akses kepada maklumat itu akan ada kepada orang ramai dan termasuk pihak luar,” katanya.
Beliau berkata Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) yang diperkenalkan sebelum ini kini diperkukuh menerusi Akta ILTIZAM.
"RKB dan Akta ILTIZAM berjalan seiring. Sebelum ini RKB sudah dilaksanakan, tetapi dengan adanya akta ini, ia menjadi payung perundangan yang lebih besar," katanya.
Dalam aspek pendigitalan pula, beliau berkata transformasi digital menjadi antara pemacu penting di bawah Akta ILTIZAM kerana ia membantu mengurangkan interaksi yang boleh membuka ruang kepada isu integriti.
"Pendigitalan penting kerana rakyat boleh berurusan secara langsung dengan kerajaan tanpa campur tangan pihak ketiga.. apabila perkhidmatan dibuat secara dalam talian, persepsi terhadap rasuah juga akan menurun," katanya.
Menyentuh aspek pematuhan, Syuhaida berkata Akta ILTIZAM lebih menekankan perubahan budaya kerja berbanding hukuman.
"Semangat akta ini ialah memotivasikan penjawat awam supaya sentiasa meningkatkan prestasi, bukannya untuk menghukum. Namun, tindakan pentadbiran dan tatatertib sedia ada tetap boleh dikenakan terhadap mereka yang gagal melaksanakan tanggungjawab" katanya.
Akta ILTIZAM yang berkuat kuasa bermula 1 Dis 2025 merupakan bukti komitmen Kerajaan MADANI untuk mengurangkan birokrasi dan mempercepatkan penyampaian perkhidmatan awam melalui reformasi struktur dan penambahbaikan berterusan.
Akta itu diperkenalkan sebagai langkah strategik bagi menangani isu kerenah birokrasi, pertindihan peraturan dan beban kawal selia yang selama ini menjadi cabaran utama kepada rakyat dan komuniti perniagaan dalam berurusan dengan jabatan dan agensi kerajaan.
-- BERNAMA
Berita terkini
- MATTA Mohon Semak Semula Pengecualian Subsidi Diesel Kepada Pengangkutan Pelancongan
- Cikgu Yeo Kesal BN Tangguh Projek Pembinaan Jalan Pintas Pekan Nanas–Ulu Choh
- MARA Sasar Jualan RM1 Bilion Menerusi "Gate To Global" Dalam Tempoh Lima Tahun
- Semua Pangkalan AS "Sasaran Sah" Jika Terus Langgar Gencatan Senjata - Iran
- Siasatan Jenayah Komersial Semakin Kompleks, Beban Pegawai Penyiasat Meningkat