YSIJ Agih 2,000 Bakul Makanan Sempena Ulang Tahun Ke-10 Penubuhan
KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) akan mengagihkan 2,000 bakul makanan kepada komuniti di beberapa daerah di Johor sempena ulang tahun ke-10 penubuhannya.
Menurut hantaran di Facebook rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini, inisiatif itu merupakan manifestasi berterusan keprihatinan institusi diraja Johor dalam membantu kebajikan rakyat, khususnya golongan yang memerlukan.
Ketua Pegawai Eksekutif YSIJ Mohd Anizam Jamian berkata program agihan bersiri itu dirancang dengan teliti bagi memastikan setiap sumbangan disalurkan terus kepada golongan sasar yang dikenal pasti di setiap komuniti.
“Pelaksanaan agihan bakul makanan ini boleh disifatkan sebagai simbolik kepada misi utama YSIJ sepanjang 10 tahun penubuhan kami.
“Sejak awal lagi, fokus utama kami adalah untuk meringankan beban Bangsa Johor dan pelaksanaan program ini mencerminkan komitmen berterusan kami dalam memastikan tiada golongan memerlukan yang terpinggir,” katanya kepada Royal Press Office (RPO).
Sesi pertama pengagihan membabitkan 1,000 bakul makanan telah dilaksanakan semalam dan hari ini, melibatkan penerima di Batu Pahat, Kluang, Johor Bahru dan Kulai.
Sumbangan disampaikan Pengurus Kanan YSIJ Shah Reza Md Kanafe kepada penghulu mukim dan wakil masyarakat.
Setiap bakul makanan mengandungi keperluan asas harian seperti beras, minyak masak, gula dan barangan kering lain yang diharap dapat membantu meringankan kos sara hidup penerima.
Menurut hantaran itu, sejak ditubuhkan pada 14 Julai 2016, YSIJ telah melaksanakan pelbagai misi bantuan meliputi sektor kesihatan, pendidikan dan bantuan ihsan kepada rakyat di seluruh Johor.
Siri pengagihan bakul makanan itu akan diteruskan di daerah lain dalam masa terdekat mengikut jadual yanh ditetapkan.
-- BERNAMA
Berita terkini
- Anggota Tentera Maut Letupan Grenad Dinaikkan Pangkat Secara Anumerta
- Sesi Dialog Politik Diharap Jadi “Turning Point” Budaya Politik Matang - Maszlee
- PRN Johor: Manifesto PH Tawar Penyelesaian Holistik Tangani Kos Sara Hidup - Maszlee
- Kepakaran Wakaf Malaysia Jadi Rujukan Oman Dalam Pembangunan Aset Ummah
- MCE Lancar Hab Pembuatan Elektronik Automotif Bernilai RM50 Juta Di Serendah