Penyedia Platform Media Sosial Perlu Proaktif Kekang Maklumat Palsu PRN Johor - Fahmi
JOHOR BAHRU, 7 Julai (Bernama) -- Penyedia platform media sosial perlu bertindak proaktif dalam mengekang penyebaran maklumat palsu berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, khususnya pada hari pengundian bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata platform berkenaan sememangnya mempunyai dasar yang tidak membenarkan penyebaran maklumat palsu, namun pemantauan dan penguatkuasaan perlu dipertingkatkan terutama pada malam hari pengundian, Sabtu ini.
“Kita agak risau pada malam hari mengundi. Kita tidak mahu ada maklumat palsu mengenai keputusan atau siapa yang menang di sesuatu kerusi tersebar,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Operasi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di sini hari ini.
Sehubungan dengan itu, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata penyedia platform perlu memberi kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk mengatasi isu tersebut.
Beliau berkata sebelum ini, MCMC dan Majlis Media Malaysia telah menyatakan hasrat untuk membantu menangani penyebaran maklumat palsu, khususnya penyalahgunaan logo media untuk menghasilkan grafik palsu.
“Bagaimanapun, itu hanya separuh daripada masalah. Separuh lagi ialah kandungan di media sosial sendiri yang dihasilkan oleh warga siber, sama ada dalam bentuk grafik atau tulisan yang mungkin mengandungi maklumat palsu berkaitan pilihan raya.
“Jadi kita harap platform berkaitan lebih pantas mengambil tindakan,” katanya dan menambah setakat ini, MCMC belum menerima sebarang aduan berkaitan salah laku kempen di media sosial.
Sementara itu, Fahmi berkata PH kekal yakin dengan strategi kempennya pada minggu terakhir PRN Johor dengan memberi tumpuan untuk menggalakkan pengundi perantau pulang menunaikan tanggungjawab mereka.
Beliau berkata terdapat beberapa syarikat bas turut menyediakan pakej khas bagi memudahkan perantau pulang mengundi.
Pada masa sama, beliau berkata pelajar Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) turut diberikan cuti untuk pulang mengundi, selain berharap majikan khususnya dalam sektor peruncitan serta makanan dan minuman (F&B) dapat memberi kelonggaran kepada pekerja untuk keluar mengundi pada Sabtu ini.
Mengulas sasaran peratusan keluar mengundi, Fahmi berharap kadar itu mampu melepasi 60 peratus, selain menggesa orang ramai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
“Kita harap lebih ramai ibu bapa akan menyampaikan mesej dan mengajak anak-anak mereka yang berada di luar Johor supaya pulang mengundi.
“Ini penting bukan sahaja untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai warganegara, malah sebagai rakyat Johor bagi menentukan pilihan untuk tempoh empat atau lima tahun akan datang,” katanya.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- PRN: Calon PH DUN Paloh Dirawat Di Hospital Akibat "Slipped Disc"
- Niaga Hadapan MSM Ditutup Bercampur-campur Menjelang Pengumuman Data MPOB
- Syarikat Konsultan, Pengarah Didakwa Gagal Bayar Cukai Perkhidmatan
- El Nino: Kapasiti Sumber Air Selangor Mampu Bertahan Sehingga Sembilan Bulan
- Presiden Uzbekistan Seru Perpaduan Global Berlandaskan Tamadun Islam