07/07/2026 04:19 PM

PRN Johor: Calon PH "Taqi" Perhebat Kempen Dekati Pengundi Muda Di Maharani

MUAR, 7 Julai (Bernama) -- Berbaki empat hari sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 Sabtu ini, calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani, Muhammad Taqiuddin Cheman memperhalus strategi kempennya dengan memberikan tumpuan kepada isu yang dekat di hati pengundi muda, khususnya peluang pekerjaan, ruang keusahawanan dan pembangunan kemahiran.

Lebih mesra dikenali sebagai Taqi, beliau berkata baki tempoh berkempen dimanfaatkan untuk mendekati golongan itu menerusi siri libat urus bersama-sama pelbagai komuniti anak muda di sekitar Muar bagi mendapatkan gambaran sebenar cabaran yang dihadapi mereka.

Bekas Ahli DUN (ADUN) Pulai Sebatang (2018-2022) itu berkata antara perkara yang kerap dibangkitkan ialah keperluan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan ruang perniagaan bagi membolehkan golongan muda terus membina kehidupan di daerah berkenaan.

“Saya dah jumpa para usahawan muda di District 84 di sini, baru-baru ini. Mereka sebenarnya nak cari tapak baharu untuk berniaga sebab di situ sahaja ada 70 peniaga sampai kena bergilir hari berniaga … mereka nak cari tempat yang ada daya tarikan, namun ruang tidak mencukupi. 

“Banyak tempat yang mereka sendiri dah kenal pasti, cuma mereka perlukan orang yang perjuangkan hak mereka untuk mohon tempat-tempat yang ada ini di dalam daerah Muar itu sendiri,” katanya kepada Bernama.

Muhammad Taqiuddin berkata bandar Muar sering dikenali sebagai "bandar pencen" kerana ramai anak muda berhijrah ke luar daerah untuk mencari pekerjaan, manakala sebahagian lagi bekerja dalam sektor semikonduktor.

Beliau yang sebelum ini turut berkecimpung dalam perniagaan berkata usaha memperkasakan golongan muda akan turut disokong menerusi manifesto PH "Johor Untuk Semua" yang memperuntukkan RM500 juta bagi membantu usahawan muda mengembangkan perniagaan.

Selain itu, beliau berkata projek Maharani Gateway (MEG) yang dijangka siap tidak lama lagi akan membuka lebih banyak peluang ekonomi di kawasan itu.

Sehubungan dengan itu, Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Johor itu mahu institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang berkualiti diwujudkan di DUN Maharani bagi melahirkan tenaga kerja tempatan yang mampu memenuhi keperluan industri, termasuk memberikan peluang kepada generasi kedua nelayan meningkatkan taraf hidup.

Beliau berkata antara isu lain yang turut memerlukan perhatian ialah masalah sistem perparitan yang menjejaskan kebun kelapa sawit serta isu kuala cetek di Parit Raja Laut yang menyukarkan pergerakan bot nelayan.

Muhammad Taqiuddin akan dicabar calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Anuar Hayan, Datuk Ashari Md Sarip daripada Barisan Nasional (BN) dan Muhammad Amir Fiqri mewakili Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dalam pertandingan empat penjuru. 

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.  

-- BERNAMA

 

N15: MAHARANI - 40,040 pengundi

1. Mohamad Anuar Hayan (PN-PAS)

2. Datuk Ashari Md Sarip (BN-UMNO)

3. Muhammad Amir Fiqri (MUDA)

4. Muhammad Taqiuddin Cheman (PH-Amanah) 

(2022: Abdul Aziz Talib: PN-PAS: Maj. 1,037)