Politik 07/07/2026 02:43 PM

PRN Johor: SPR Rekod 588 Kesalahan Pilihan Raya Setakat Ini

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PRN Johor: SPR Rekod 588 Kesalahan Pilihan Raya Setakat Ini
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun mengadakan sidang akhbar selepas meninjau proses pengundian awal oleh anggota dan pegawai tentera bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 di Kem Mahkota hari ini.

KLUANG, 7 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima sebanyak 588 laporan berkaitan pelbagai kesalahan pilihan raya sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, setakat hari ini.

Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata daripada jumlah keseluruhan itu sebanyak 44 laporan polis telah dibuat.

“Selain itu, tiga laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga dibuat berhubung kesalahan berkaitan,” katanya pada sidang media di Dewan Mahkota, Kem Mahkota di sini, hari ini.

Terdahulu, Ramlan yang diiringi Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman meluangkan masa memantau kelancaran proses pengundian awal di beberapa pusat mengundi, antaranya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dan Kem Mahkota.

Proses pengundian awal bagi PRN Johor kali ini melibatkan 20,607 pemilih merangkumi 8,544 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan 12,063 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama pasangan masing-masing.

PRN Johor menyaksikan 172 calon bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan hari pengundian ditetapkan pada Sabtu ini.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.

 -- BERNAMA