Pilihan Raya Bukan Saluran Bebaskan Mana-mana Individu - Azalina
PUTRAJAYA, 7 Julai (Bernama) -- Pilihan raya bukan saluran untuk membebaskan mana-mana individu yang sedang menjalani hukuman, tegas Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said.
Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata tiada undang-undang yang menyatakan pilihan raya boleh digunakan untuk membebaskan individu tertentu.
Sebaliknya, kuasa pengampunan bagi mana-mana individu terletak di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong.
“Tak ada undang-undang menyatakan pilihan raya boleh membebaskan sesiapa. Yang berlaku hari ini (pengampunan) ialah kuasa Yang di-Pertuan Agong. Tak ada kena-mengena dengan politik,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Sidang Kemuncak Keselamatan Siber Kebangsaan (NCSS) 2026 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan beberapa pihak pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bahawa kemenangan Barisan Nasional (BN) mampu membawa kepada pembebasan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Azalina ketika mengulas mengenai PRN Johor berkata jentera BN sedang giat berkempen secara teratur dan tersusun dengan memberikan tumpuan kepada keutamaan rakyat dan isu tempatan di negeri itu.
“BN ialah parti politik yang sudah lama dan cara kami berkempen tu banyak memberikan fokus kepada keutamaan rakyat dalam negeri berkenaan.
“Kami ada program sistem keluarga angkat daripada negeri-negeri yang juga memberi penambahbaikan dari segi kempen terhadap isu-isu tempatan,” katanya.
PRN Johor ke-16 menyaksikan 172 calon merebut 56 kerusi DUN dengan pengundian bagi 2.7 juta pemilih ditetapkan pada Sabtu ini.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- LIMA'27 Sasar Penyertaan 930 Syarikat Pempamer
- Siapa Mampu Ganti Beasley? - Shah Firdaus
- RM197 Juta Bayaran Balik Pinjaman PTPTN Berjaya Dikutip Menerusi Khidmat APH Setakat Mei 2026
- Tiga Termasuk Dua Pengarah Syarikat Ditahan Kemuka Dokumen Palsu Bernilai RM20 Juta
- Polis Bongkar Aktiviti Proses e-Waste Haram, Tahan 11 Warga Asing