07/07/2026 01:04 PM

PRN Johor: Lebih Separuh Pengundi Awal Selesai Mengundi Setakat 11 Pagi

JOHOR BAHRU, 7 Julai (Bernama) -- Lebih separuh daripada pengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 yang terdiri daripada anggota keselamatan dan pasangan selesai menunaikan tanggungjawab mereka setakat 11 pagi ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi hantaran Facebook memaklumkan sebanyak 56.32 peratus atau 11,605 daripada 20,607 pengundi awal telah mengundi.

Jumlah itu meliputi 6,852 daripada 12,063 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan dan 4,753 daripada 8,544 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama-sama pasangan masing-masing. 

Sebanyak 64 pusat mengundi dibuka serentak pada 8 pagi tadi bagi membolehkan pengundi awal yang berdaftar menjalankan tanggungjawab itu.

Semua pusat mengundi itu akan ditutup secara berperingkat dari 12 tengah hari hingga 6 petang, bergantung kepada lokasi dan jumlah pemilih berdaftar.

PRN Johor ke-16 menyaksikan 172 calon merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan pengundian bagi 2.7 juta pemilih ditetapkan pada Sabtu ini.

Bagi mendapatkan berita terkini PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.

-- BERNAMA