06/07/2026 03:09 PM

PRN Johor: Kempen Secara Berpada-pada, Elak Serangan Peribadi - Mohamad Hasan

JOHOR BAHRU, 6 Julai (Bernama) -- Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu berlangsung secara matang tanpa serangan bersifat peribadi, bagi memastikan kestabilan negara terus terpelihara, kata Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata parti-parti yang bertanding pada PRN Johor, bebas mengemukakan dasar dan tawaran masing-masing kepada rakyat, namun pendekatan berkempen tidak seharusnya menjejaskan hubungan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan.

“Jangan kita terlampau personal sangat. Dasar kita okey, tak ada masalah. Parti kita ok, nothing personal. Jadi kita berpada-pada juga kerana pada peringkat Persekutuan, kita masih lagi mengurus negara secara bersama. Itu yang penting.

“Bagi saya, urusan mengurus negara itu penting. Jangan sampai ia merosakkan negara. Jadi usik-mengusik antara satu sama lain tu, tiada masalah, tiada isu. Saya usik orang, orang usik saya, tiada isu tapi jangan terlalu personal,” kata beliau yang juga Menteri Luar pada program makan tengah hari bersama-sama pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram, di sini hari ini.

Mengulas mengenai dakwaan yang mengaitkan PRN Johor sebagai permulaan proses politik untuk membebaskan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Mohamad yang juga Menteri Luar menegaskan isu berkenaan langsung tidak mempunyai sebarang kaitan.

Beliau berkata Malaysia sebuah negara yang berteraskan keluhuran undang-undang dan UMNO sentiasa menghormati ketetapan tersebut.

“PRN Johor tak ada kena-mengena pun dengan pembebasan Datuk Seri Najib, kerana ia cuma pilihan raya menubuhkan kerajaan negeri dan ia bukan pilihan raya menubuhkan kerajaan Persekutuan.

“Apa yang Menteri Besar boleh buat untuk membebaskan Datuk Seri Najib? Tak ada...kerana kuasa adalah kuasa persekutuan dan pengampunan merupakan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong. Jadi tak usah kita ambil kuasa Agong dan juga jangan kita memperkecil kuasa Agong,” katanya.

PRN Johor akan diadakan 11 Julai ini, manakala pengundian awal akan berlangsung esok.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.

-- BERNAMA