05/07/2026 06:48 PM

Bawa Semangat Muda, Felicia Poh Tekad Perkasa Komuniti Penggaram

Oleh Kamarul Halim M Kamal

BATU PAHAT, 5 Julai (Bernama) -- Mempertaruhkan semangat anak muda, calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggaram, Felicia Poh Rui Ling menggariskan empat hasrat utama yang merangkumi pemerkasaan ekonomi digital hingga kepada kebajikan warga emas sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Felicia, 28, berkata sebagai wakil generasi baharu, misi pertamanya adalah untuk menganjakkan paradigma golongan muda daripada sekadar mencari pekerjaan kepada menceburi bidang keusahawanan, khususnya melalui Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Beliau komited untuk menyediakan pendedahan menyeluruh mengenai inisiatif kerajaan, termasuk akses kepada pembiayaan dan program pembangunan usahawan bagi membina keberanian belia dalam dunia perniagaan.

“Pengukuhan kerjasama dengan pihak industri juga langkah yang penting kepada golongan muda ini terutamanya bagi aspek pemasaran dengan peluasan program latihan dalam bidang e-dagang, kecerdasan buatan (AI) dan kemahiran digital yang tinggi.

“Aktiviti sosial anak muda turut menjadi keutamaan bagi menjadikan golongan ini aktif dalam menyumbang bakti kepada masyarakat termasuk membentuk semangat kesukarelawanan serta melahirkan belia yang aktif,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Felicia juga bertekad untuk membina institusi kekeluargaan yang lebih sejahtera dengan tumpuan khusus kepada keperluan golongan wanita, ibu tunggal serta penjaga kepada ahli keluarga yang rentan.

Untuk itu, beliau sedia berperanan sebagai ‘jambatan’ bagi memastikan golongan berkenaan tidak tercicir daripada menerima pelbagai bantuan dan inisiatif kerajaan, terutama apabila banyak proses permohonan kini telah beralih ke platform digital.

“Sekarang ada beberapa inisiatif oleh kerajaan sama ada kerajaan pusat atau negeri telah beralih kepada digital, tapi ada sebahagiannya (tiada kemahiran) terlepas dan disebabkan itu saya bertekad sentiasa turun padang membantu mereka,” katanya.

Beliau juga tidak melupakan kebajikan warga emas, dengan matlamat mewujudkan persekitaran hidup yang harmoni, aktif dan sihat bagi golongan berkenaan.

“Saya akan memperluas program berbentuk penjagaan kesihatan serta kesedaran kesihatan bertujuan pencegahan penyakit kronik dan pengurusan kesihatan kepada golongan ini,” katanya.

Beliau merancang untuk memperluas program penjagaan kesihatan yang bersifat pencegahan penyakit kronik serta meningkatkan kemudahan awam agar lebih mesra warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Hasrat beliau seterusnya tertumpu kepada usaha memperkasa komuniti melalui penonjolan sejarah, budaya dan keunikan tempatan yang menjadi kebanggaan masyarakat Batu Pahat.

Beliau menyasarkan untuk memberi sokongan padu kepada program kebudayaan dan pelancongan bagi merancakkan lagi ekonomi setempat menerusi aktiviti komuniti yang kreatif.

“Saya mahu Batu Pahat ini khususnya di DUN Penggaram ini lebih dikenali kerana keunikan makanan, perpaduan kaum dan kebudayaannya,” kata Felicia.

PRN Johor menyaksikan seramai 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai 

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/

-- BERNAMA

 

N23: PENGGARAM : 70,294

1. Felicia Poh Rui Ling (PH-DAP)

2. Boo Chin Liong (BN-MCA)

 

(2022: Gan Peck Cheng: PH-DAP: Maj: 9,956)