05/07/2026 02:04 PM

Agong Zahir Ucapan Tahniah Ulang Tahun Keputeraan Sultan Kedah

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-84 kepada Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, hari ini.

Menerusi hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda mendoakan agar Sultan Sallehuddin dirahmati, diberi kebahagiaan dan dilanjutkan usia oleh Allah SWT.

“Semoga Allah SWT merahmati baginda dengan kebahagiaan dan melanjutkan usia baginda,” titah Seri Paduka Baginda.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut merafak sembah dan menzahirkan ucapan tahniah kepada Sultan Sallehuddin.

Perdana Menteri turut mendoakan agar Sultan Sallehuddin, Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah Allah SWT serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan.

"Daulat Tuanku. Dirgahayu Tuanku," kata beliau menerusi hantaran di laman Facebook.

Turut merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Sultan Sallehuddin ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mendoakan baginda sentiasa dilimpahi rahmat.

“Patik mendoakan semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah serta seluruh Kerabat Diraja Kedah sentiasa dilimpahi rahmat dan inayah Allah SWT, dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, kesejahteraan, kebahagiaan serta terus bersemayam dengan penuh kedaulatan. 

“Daulat Tuanku!,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.

-- BERNAMA