IKATAN Gesa Kerajaan Ambil Langkah Konkrit Tangani Penyalahgunaan Dadah Sintetik
KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (IKATAN) menggesa kerajaan mengambil langkah komprehensif bagi menangani penyalahgunaan dadah sintetik yang semakin meningkat, terutamanya yang berkaitan dengan produk vape.
Pengerusinya Tan Sri Lee Lam Thye berkata ia kini menyumbang 73 peratus daripada kes penyalahgunaan dadah dan menyumbang kepada masalah kesihatan mental yang semakin buruk dalam kalangan golongan muda.
Beliau berkata data daripada agensi penguatkuasaan menunjukkan trend itu telah menjadi krisis kesihatan awam, kesihatan mental dan sosial yang serius yang memerlukan intervensi segera.
"Tidak seperti dadah konvensional, dadah sintetik dihasilkan menggunakan sebatian kimia berbahaya yang biasanya jauh lebih kuat dan tidak dapat diramalkan. Kesannya pada otak boleh memudaratkan.
"Penggunaan yang kerap boleh merosakkan fungsi otak dan mengubah aktiviti kimia normal, sekali gus meningkatkan risiko keadaan kesihatan mental yang teruk seperti gangguan kebimbangan, kemurungan, paranoia, halusinasi, psikosis, tingkah laku ganas dan dalam beberapa kes, simptom seperti skizofrenia jangka panjang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lee berkata ramai golongan muda tidak menyedari bahawa bahan yang disedut melalui peranti vape boleh menjejaskan pertimbangan dengan cepat, merosakkan otak dan mencetuskan keadaan psikiatri yang serius.
"Keadaan itu, yang biasanya dirujuk oleh pakar perubatan sebagai "diagnosis berganda", apabila seseorang individu mengalami gangguan penggunaan bahan dan penyakit mental secara serentak, lebih sukar untuk dirawat kerana kedua-dua keadaan itu saling menguatkan antara satu sama lain,” katanya.
Bagi menangani masalah itu, Lee menggesa penguatkuasaan yang lebih ketat di seluruh negara terhadap pembuatan, penyeludupan, penjualan dan pengedaran dadah sintetik dalam talian, terutamanya yang disembunyikan dalam cecair dan kartrij vape, serta kawalan sempadan yang lebih ketat bagi membendung penyeludupan prekursor dadah sintetik.
Beliau juga menggesa kerajaan memperluaskan kempen kesedaran di sekolah, kolej dan universiti, memperkukuh saringan kesihatan mental untuk individu yang menjalani pemulihan dadah.
"Kita juga mesti meningkatkan kerjasama antara Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Kementerian Kesihatan, institusi pendidikan, agensi penguatkuasaan undang-undang dan profesional kesihatan mental untuk menyediakan penjagaan dan pemulihan yang terselaras," katanya.
Lee juga menggesa ibu bapa dan guru untuk mengenali tanda-tanda amaran awal penyalahgunaan dadah dan masalah kesihatan mental, sambil menggesa pihak berkuasa untuk menyemak semula undang-undang sedia ada mengenai produk vape bagi mengelakkannya daripada dieksploitasi sebagai sistem penghantaran bahan sintetik berbahaya.
"Pemulihan dadah hari ini perlu bukan sekadar rawatan ketagihan semata-mata. Ia juga mesti menangani kesan psikologi dan psikiatri daripada penggunaan dadah sintetik.
"Tanpa rawatan bersepadu, ramai penagih yang sedang pulih akan terdedah kepada ketagihan semula, mencederakan diri sendiri, keganasan, kehilangan tempat tinggal dan terlibat dalam jenayah," katanya.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Lepasan Sekolah, Belia Paling Terdedah Kepada Penyalahgunaan Dadah
- Ribut Petir Dan Hujan Lebat Diramal Di KL, Putrajaya Serta Lapan Negeri
- DAP Tidak Pernah Pertikai Hak Melayu, Kerajaan Adil Pada Semua Kaum - PM Anwar
- UMS Kekal Utamakan Pelajar Tempatan, Perkasa Agenda Pengantarabangsaan
- PRN Negeri Sembilan: BN Mungkin Tidak Kekalkan Pendekatan "Kerusi Tradisi" - Mohamad