05/07/2026 12:15 PM

FMM Gesa Pendekatan Seimbang AS Terhadap Cadangan Tindakan Tarif Seksyen 301

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa Amerika Syarikat (AS) supaya mengguna pakai pendekatan seimbang terhadap cadangan tindakan tarif Seksyen 301 ke atas import yang dikaitkan dengan buruh paksa, sambil memberi amaran bahawa pengenaan duti secara menyeluruh boleh menjejaskan pengeluar Malaysia yang mematuhi peraturan serta mengganggu rantaian bekalan sedia ada.

Dalam memorandum yang dihantar kepada Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR), Presiden FMM Jacob Lee Chor Kok berkata persekutuan itu menyokong sepenuhnya usaha menghapuskan buruh paksa daripada rantaian bekalan global, namun menegaskan bahawa sebarang tarif tambahan tidak wajar memberi kesan tidak adil kepada pengeluar yang telah mematuhi piawaian buruh yang ketat.

“Ramai pengeluar Malaysia yang mengeksport ke AS telah beroperasi di bawah keperluan pematuhan buruh yang ketat berasaskan kehendak pelanggan, termasuk audit, kod tata kelakuan pembekal serta kewajipan kebolehkesanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

FMM turut memberi amaran bahawa duti tambahan yang dicadangkan itu boleh membebankan perdagangan AS sendiri dengan meningkatkan kos kepada pengimport, pengeluar dan pengguna di negara itu, khususnya apabila pembekal Malaysia merupakan sebahagian daripada rantaian bekalan yang telah lama terjalin dan bersifat khusus.

Berdasarkan maklum balas ahlinya, Lee berkata kos tambahan tersebut berkemungkinan dipindahkan sepenuhnya atau sebahagiannya kepada pelanggan di AS, yang berpotensi menjejaskan harga, ketersediaan produk serta tempoh penghantaran.

Antara syor yang dikemukakan, FMM menggesa USTR mengekalkan pengecualian sedia ada di bawah Lampiran A, khususnya bagi produk elektrik dan elektronik, semikonduktor serta barisan produk berkaitan yang disifatkan sebagai kritikal kepada rantaian bekalan global.

FMM juga menggesa AS supaya tidak mengenakan duti tambahan di bawah tindakan Seksyen 301 yang dicadangkan ke atas produk Malaysia yang telah tertakluk kepada tarif Seksyen 232.

“Satu syor utama dalam penyerahan FMM ialah supaya USTR mewujudkan mekanisme semakan berkala, sekurang-kurangnya setahun sekali, bagi menilai keperluan dan kesesuaian berterusan kadar duti yang dikenakan ke atas barangan berasal dari Malaysia,” katanya.

Beliau menegaskan Malaysia telah memperkukuh usaha meningkatkan pematuhan buruh menerusi pembaharuan amalan yuran pengambilan pekerja, pindaan undang-undang buruh serta langkah pemulihan susulan Perintah Tahan Pelepasan (Withhold Release Orders) sebelum ini oleh Agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP).

Beliau turut merujuk penubuhan Pasukan Petugas Antara Agensi Mengenai Buruh Paksa yang diumumkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Johari Abdul Ghani di Parlimen pada 23 Jun sebagai bukti komitmen berterusan negara dalam menangani isu buruh paksa.

“FMM berpandangan bahawa usaha pembaharuan berterusan Malaysia wajar diiktiraf dalam sebarang penilaian akan datang oleh USTR,” kata Lee sambil menambah bahawa mekanisme semakan berkala itu akan menyediakan laluan praktikal supaya kemajuan kerangka domestik Malaysia dapat dipertimbangkan secara adil dan tersusun.

Beliau berkata FMM akan terus berinteraksi dengan Kerajaan Malaysia, USTR serta pihak berkepentingan lain bagi menyokong langkah yang berkesan untuk menghapuskan buruh paksa, di samping memelihara perdagangan sah, daya tahan rantaian bekalan serta daya saing pengeluar yang bertanggungjawab.

Pada 2 Jun, USTR menerbitkan dapatan siasatan di bawah Seksyen 301 berkaitan buruh paksa yang melibatkan Malaysia dan mencadangkan tarif 10 peratus ke atas barangan Malaysia selepas tamat tempoh tarif yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 pada 24 Julai.

-- BERNAMA