03/07/2026 07:44 PM

PRN Johor: Kesinambungan Pembangunan Fokus Calon BN Di Senggarang

BATU PAHAT, 3 Julai (Bernama) -- Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang Mohd Yusla Ismail mahu meneruskan inisiatif yang telah dirancang di kawasan itu sekiranya diberi mandat sekali lagi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Beliau berkata tumpuan inisiatif itu dikhususkan kepada pemilikan rumah dalam kalangan golongan muda serta pembangunan sektor pelancongan.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan itu berkata inisiatif berkenaan bukanlah manifesto yang muncul semasa musim pilihan raya, sebaliknya kesinambungan perancangan yang telah dikenal pasti sepanjang beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat.

Beliau berkata antara keutamaan ialah membantu lebih ramai golongan muda memiliki kediaman sendiri melalui projek Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), selain memastikan mereka mendapat pendedahan mengenai proses permohonan yang kini lebih mudah menerusi sistem dalam talian.

"Kita akan cuba bantu golongan muda ini memohon RMMJ agar mereka yang sepatutnya layak dapat memiliki kediaman sendiri dan tidak terlalu bergantung kepada ahli keluarga atau perlu menyewa kediaman setelah masing-masing berkahwin serta memiliki keluarga sendiri.

“Di kawasan Senggarang ini, kita juga telah mengenal pasti beberapa kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan projek RMMJ ini,” katanya kepada Bernama ketika menyantuni penduduk di Kampung Petani, di sini, hari ini.

Selain perumahan, Mohd Yusla berkata beliau turut mahu meneruskan usaha membangunkan sektor pelancongan tempatan yang dilihat mampu merancakkan ekonomi penduduk setempat.

Beliau berkata beberapa kawasan di Senggarang seperti Pantai Minyak Beku, Pantai Sungai Lurus dan Pantai Perpat mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan dan riadah melalui penambahbaikan kemudahan serta infrastruktur.

"Apabila kawasan ini menjadi tumpuan dengan aktiviti pembangunan akan memberi peluang penduduk setempat meningkatkan ekonomi dengan penghasilan produk tempatan," katanya.

Mohd Yusla dicabar calon Pakatan Harapan (PH) Onn Abu Bakar dan Datuk Mohd Rashid Hasnon daripada Perikatan Nasional (PN) dalam pertandingan tiga penjuru di DUN Senggarang.

PRN Johor akan berlangsung 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.

-- BERNAMA

 

N24: SENGGARANG - 38,576 pengundi

1. Datuk Mohd Rashid Hasnon (PN-Bersatu)

2. Onn Abu Bakar (PH-PKR)

3. Mohd Yusla Ismail (BN-UMNO)

(2022: Mohd Yusla Ismail: BN-UMNO: Maj: 3,912)