PRN Johor: Manifesto PH Mampu Cabar Naratif Kestabilan BN Di Johor - Kata Penganalisis
Oleh Hasnah Jusid
JOHOR BAHRU, 3 Julai (Bernama) – Manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 yang dilancarkan hari ini dilihat sebagai tawaran kukuh dan terperinci, sekali gus mencabar naratif kestabilan serta rekod pentadbiran Barisan Nasional (BN) di negeri selatan itu.
Penganalisis politik Prof Madya Dr Mazlan Ali berkata manifesto bertemakan 'Johor Untuk Semua' itu bersifat menyeluruh kerana memberi tumpuan kepada pelbagai isu asas rakyat termasuk pekerjaan bermaruah, rumah mampu milik, kehidupan sejahtera dan kerajaan berintegriti.
Mazlan yang juga Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata empat tema utama itu merupakan elemen penting dalam tadbir urus yang baik selain menyentuh secara langsung keperluan dan harapan rakyat Johor untuk menikmati kehidupan lebih sejahtera.
“Jika kerajaan memberi perhatian kepada empat perkara ini, ia menunjukkan komitmen sebenar untuk mencapai matlamat yang digariskan.
“Keempat-empat tema ini adalah perkara asas yang dihadapi rakyat. Saya percaya ia mampu menyentuh hati rakyat Johor serta memenuhi harapan mereka untuk mendapat akses kepada kehidupan yang lebih baik,” katanya kepada Bernama.
Mazlan berkata tawaran PH yang merangkumi aspek kesihatan, perumahan, dana anak muda, pekerjaan bergaji tinggi serta isu rentas sempadan dilihat realistik, terutama jika dikaitkan dengan rekod pentadbiran Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Beliau berkata beberapa petunjuk ekonomi semasa negara, termasuk pengukuhan ringgit, peningkatan pelaburan asing dan prestasi perdagangan yang memberangsangkan, menunjukkan kerajaan mempunyai keupayaan untuk melaksanakan dasar yang dijanjikan.
“Jadi, saya tidak melihat manifesto ini sekadar janji manis kerana keberkesanannya sudah dapat dibuktikan di peringkat Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Mengulas sasaran besar yang digariskan PH seperti perlindungan kesihatan, dana anak muda bernilai RM500 juta, pembinaan 80,000 rumah mampu milik dan pewujudan 250,000 pekerjaan bergaji tinggi, Mazlan berkata angka itu mungkin kelihatan besar, namun tidak mustahil dicapai sekiranya wujud sinergi antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
Katanya sasaran berangka sedemikian boleh menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat, namun pada masa sama mampu memberi harapan sekiranya disokong oleh tadbir urus serta sistem penyampaian yang berkesan.
“Walaupun sasaran itu dilihat seperti impian, berdasarkan tadbir urus di peringkat Kerajaan Pusat, pada saya rakyat boleh meletakkan harapan. Jika mereka diberi peluang mentadbir negeri ini, dengan gandingan negeri dan Persekutuan, saya percaya ia boleh dicapai,” katanya.
Mazlan berkata manifesto yang disertakan dengan angka dan sasaran jelas juga berpotensi menarik perhatian pengundi atas pagar kerana kelompok itu lazimnya menilai keberkesanan tadbir urus, pelaksanaan dasar serta impak program kepada rakyat.
Katanya pengundi atas pagar bukan sahaja melihat calon, tetapi turut menilai sama ada calon berkenaan mewakili gabungan yang mempunyai rekod pentadbiran serta sistem penyampaian yang baik.
“Janji manifesto itu sebenarnya sebahagian daripada polisi, program dan perancangan penyampaian kepada rakyat,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Sosial, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Dr Nazreena Mohammed Yasin berkata manifesto 'Johor Untuk Semua' boleh dianggap komprehensif kerana menawarkan visi pembangunan ekonomi dan sosial yang menyeluruh.
Beliau berkata penekanan terhadap pekerjaan bergaji tinggi, perumahan, kesejahteraan rakyat dan tadbir urus berintegriti menunjukkan manifesto itu memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat.
Namun, katanya dari perspektif politik pilihan raya, kekuatan sesuatu manifesto bukan hanya diukur berdasarkan kandungannya, sebaliknya bergantung kepada sejauh mana pengundi mempercayai kemampuan sesebuah parti untuk melaksanakannya.
“Di Johor, BN mempunyai kelebihan sebagai penyandang kerajaan negeri dengan naratif kestabilan pentadbiran serta rekod pelaksanaan dasar yang telah lama dibina.
“Oleh itu, manifesto ini berpotensi mencabar naratif berkenaan sekiranya PH berjaya meyakinkan pengundi bahawa tawaran dikemukakan bukan sekadar aspirasi, sebaliknya disokong dengan pelan pelaksanaan, sumber kewangan yang jelas dan garis masa yang realistik,” katanya.
Nazreena berkata isu pekerjaan bergaji tinggi dan rentas sempadan berpotensi menjadi tarikan utama kepada pengundi Johor memandangkan negeri itu mempunyai hubungan ekonomi yang rapat dengan Singapura.
Beliau berkata usaha mengurangkan masa menunggu di sempadan sehingga 50 peratus serta memperkukuh integrasi pengangkutan awam dijangka memberi kesan langsung kepada pekerja rentas sempadan dan aktiviti ekonomi negeri.
Pada masa sama, katanya sasaran mewujudkan 250,000 pekerjaan bergaji tinggi dalam sektor ekonomi digital, kecerdasan buatan dan industri bernilai tinggi turut mempunyai daya tarikan kerana menyentuh isu pendapatan serta peluang kerjaya, khususnya dalam kalangan golongan muda.
PRN Johor ke-16 menyaksikan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai ini.
-- BERNAMA
Berita terkini
- Individu Disenarai Hitam Antara 13 Warga Asing Ditahan Di Sempadan Kelantan
- Petugas AADK Maut Dilanggar Pemandu Disyaki Positif Dadah
- Inovasi Dalam Penjagaan Kesihatan Ibu Mesti Berteraskan Belas Ihsan - Wan Azizah
- Pekerja Terselamat Jatuh Dari Ketinggian 9 Meter Bangunan Kilang
- BUDI Diesel: Hampir 200,000 Dapat Manfaat Dalam Tempoh Tiga Hari Pelaksanaan