03/07/2026 02:30 PM

Manifesto PH 'Johor Untuk Semua’ Bukan Janji Kosong, Seiring Keperluan, Ekonomi Semasa - Teo

JOHOR BAHRU, 3 Julai (Bernama) -- Manifesto Pakatan Harapan (PH) 'Johor Untuk Semua' yang dilancarkan hari ini sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 bukan janji kosong semata-mata kerana ia dirangka seiring dengan keperluan rakyat  dan keadaan ekonomi semasa di negeri itu.

Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching berkata beliau percaya semua tawaran yang digariskan dalam manifesto berkenaan mampu direalisasikan dengan sokongan dan kerjasama yang baik daripada kerajaan pusat.

“Saya rasa ini adalah satu manifesto yang sangat seimbang, menjaga (masyarakat) dari anak muda,  golongan ibu sehingga kanak-kanak,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas pelancaran manifesto itu, di sini, hari ini.

Teo yang juga Timbalan Menteri Komunikasi berkata antara fokus utama manifesto berkenaan termasuk isu pendidikan serta usaha mengurangkan masa menunggu di pintu sempadan Johor-Singapura sebanyak 50 peratus.

“Saya lihat bahawa untuk isu sempadan ini, kalau dengan kerjasama yang baik dengan KDN (Kementerian Dalam Negeri), saya percaya ini dapat dilaksanakan,” katanya.

Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa pengalaman kerajaan negeri Selangor dalam melaksanakan skim kesihatan seperti yang akan dijanjikan menerusi manifesto itu boleh dijadikan rujukan dalam pelaksanaan inisiatif sama di Johor.

“Saya percaya dengan pengalaman (Selangor) berjaya (laksana skim kesihatan) ini boleh meyakinkan rakyat Johor, Bangsa Johor (akan) percaya bahawa manifesto yang kita lancarkan pada hari ini adalah doable (boleh dilaksanakan),” katanya.

Terdahulu hari ini, PH melancarkan manifesto 'Johor Untuk Semua' sebagai tawaran gabungan itu kepada pengundi sempena PRN Johor yang menumpukan kepada 10 tawaran, antaranya Skim Kesihatan Johor, bantuan deposit bagi pemilikan rumah pertama, peruntukan dana RM500 juta bagi memperkasakan pembangunan generasi muda dan memperkasa sektor pendidikan.

PRN Johor akan diadakan 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, sila layari https://prn.bernama.com/johor/.

-- BERNAMA