03/07/2026 02:16 PM

Rekod Prestasi PH Tunai Manifesto PRU14 Perlu Jadi Ukuran Pengundi Johor - Aminolhuda

JOHOR BAHRU, 3 Julai (Bernama) -- Rekod prestasi Pakatan Harapan (PH) yang berjaya menunaikan kesemua janji dalam manifesto 100 hari ketika mentadbir Johor selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) wajar dijadikan ukuran pengundi dalam membuat pilihan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Pengerusi PH Johor Aminolhuda Hassan berkata kejayaan itu membuktikan bahawa gabungan berkenaan bukan sekadar menawarkan janji pilihan raya, tetapi juga mempunyai rekod melaksanakan komitmen yang dijanjikan kepada rakyat.

Beliau berkata kesemua 10 inisiatif yang dijanjikan menerusi manifesto 100 hari itu berjaya direalisasikan antaranya mengehadkan jawatan Menteri Besar kepada dua penggal, program Kad Sihat Johor, sistem tender terbuka dan pemberian air percuma sebanyak 10 meter padu kepada golongan sasar.

“Turut berjaya dilaksanakan ialah skim takaful warga emas, insentif lanjut pelajaran, pengecualian bayaran lesen penjaja, bayaran tertunggak sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dengan 50 peratus potongan, kuota menegak kerajaan dan insentif perkahwinan untuk orang muda,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Manifesto PH Untuk Semua di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Majlis Presiden PH Datuk Seri Amirudin Shari, Setiausaha Agung PKR Datuk Dr Fuziah Salleh, Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching dan Pengerusi PKR Johor Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Sehubungan dengan itu, Aminolhuda menyeru seluruh rakyat Johor agar keluar beramai-ramai pada hari pengundian 11 Julai ini, sekali gus memberikan kemenangan kepada PH untuk membentuk kerajaan.

Pengerusi Amanah Johor itu juga berkeyakinan bahawa manifesto yang dibentangkan PH hari ini berupaya dilaksanakan oleh pasukan yang akan mentadbir negeri berkenaan.

“Saya yakin dan percaya (bakal) kepimpinan yang ada akan mewarisi kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri pada peringkat Persekutuan serta dapat melaksanakan perkara yang dijanjikan,” katanya.

Pada PRN kali ini, PH bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, sila layari https://prn.bernama.com/johor/.

Sementara itu, calon PH di DUN Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik berkata tawaran kepada pengundi pada PRN kali ini dirangka secara holistik dan berasaskan realiti serta penelitian mendalam terhadap keperluan masyarakat tempatan.

“Inilah bezanya manifesto yang berasaskan perancangan, penelitian dan suara kolektif rakyat, kita tidak menjual mimpi,” katanya.

Beliau berkata tawaran komprehensif itu meliputi pelbagai aspek kritikal merentasi sektor kesihatan, perumahan, ekonomi, pendidikan serta jaringan infrastruktur rentas sempadan.

Pada PRN kali ini, sebanyak 172 calon bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.

-- BERNAMA