Pencapaian Kerajaan, Pulau Pinang Dan Selangor Bukti Keupayaan Kepimpinan PH - Amirudin
JOHOR BAHRU, 3 Julai (Bernama) -- Kejayaan kerajaan Persekutuan serta Pulau Pinang dan Selangor dalam memacu pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan, menjadi bukti nyata kemampuan kepimpinan yang diterajui Pakatan Harapan (PH).
Ahli Majlis Presiden PH Datuk Seri Amirudin Shari berkata pada peringkat Persekutuan, Kerajaan MADANI yang dipimpin PH bersama rakan gabungan lain, antaranya berjaya memperkukuh nilai ringgit ke tahap terbaik dalam tempoh 16 tahun, selain berdaya tahan mendepani krisis.
Beliau yang juga Menteri Besar Selangor berkata antara pencapaian di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim termasuklah kemampuan membentuk daya tahan negara berhadapan cabaran krisis global, membawa jumlah pelaburan masuk yang tinggi serta peningkatan konsisten dalam Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara.
“Pada peringkat negeri, di Pulau Pinang dan Selangor sahaja secara kolektif berjaya menyumbang hampir 40 peratus kepada ekonomi nasional.
“Penilaian ekonomi negeri Selangor tahun lepas oleh Jabatan Perangkaan, berjaya mencatat RM432 bilion dan laporan sama dua hari lepas meningkat sebanyak RM28 bilion kepada RM460 bilion, ini dua kali ganda daripada Johor,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Manifesto PH “Johor Untuk Semua” sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi PH Johor Aminolhuda Hassan, Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching, Pengerusi PKR Johor Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, serta calon-calon gabungan itu yang akan bertanding pada PRN berkenaan.
Amirudin berkata sekiranya PH diberikan mandat menerajui Johor, Menteri Besar daripada gabungan itu akan membentangkan rancangan kemajuan negeri dalam tempoh tiga hingga enam bulan, selepas pembentukan kerajaan negeri.
“Selepas Persekutuan, Pulau Pinang dan Selangor, kejayaan kepimpinan PH itu akan diperluas di Johor ini, mencakupi pembangunan lebih mampan, dengan fokus memastikan seluruh kawasan direncana dengan pembangunan bermanfaat kepada rakyat.
“Dengan potensi yang ada, kita tidak mahu sekadar jadi feeder kepada negara jiran. Kita mahu jadikan Johor ini The Shenzhen of Southeast Asia, selain mewujudkan pembangunan negeri yang adil kepada semua,” katanya.
PRN Johor menyaksikan sebanyak 172 calon bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan 11 Julai sebagai hari pengundian, manakala pengundian awal pada 7 Julai.
PH meletakkan calon di semua 56 kerusi DUN.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- PM Anwar Makan Tengah Hari Bersama Masyarakat Di Cheras
- Bursa Malaysia Terus Meningkat Pada Tengah Hari
- Laluan Smart Lane Bandar Saujana Putra–Putra Heights Ditutup Mulai Isnin
- China Kuat Kuasa Peraturan Baharu Mengenai Pelaburan Ke Luar Negara
- Elsa Energy Raih Kontrak Pemeriksaan Struktur Bawah Laut Guna AUV