03/07/2026 10:09 AM

PRN Johor: Transformasi ‘Jalan Koyok’ Antara Kad Laporan Ah Soon Di Yong Peng

Oleh Samantha Tan Chiew Tieng

BATU PAHAT, 3 Julai (Bernama) -- Dahulunya sering diejek penduduk sebagai “Jalan Koyok” kerana dipenuhi tampalan, kini transformasi infrastruktur jalan raya itu menjadi antara “kad laporan” utama penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Yong Peng, Ling Tian Soon, dalam usaha meraih mandat penggal kedua pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ling atau lebih dikenali sebagai Ah Soon berkata sebaik dipilih sebagai wakil rakyat pada 2022, beliau memberi keutamaan kepada pembangunan asas yang sekian lama tertangguh, khususnya menaik taraf infrastruktur sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat.

“Saya menggunakan jumlah peruntukan pembangunan yang agak besar untuk membaiki jalan, kira-kira RM23 juta dalam tempoh tiga tahun, meliputi kawasan dari Ayer Hitam hingga ke sempadan Segamat. Dalam masyarakat Cina ada pepatah, apabila jalan dibina dengan baik, ekonomi juga akan bergerak,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Ling, 42, yang juga bekas Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri berkata transformasi itu mula menarik keyakinan pelabur apabila semakin banyak syarikat logistik dan kurier gergasi memilih Yong Peng yang terletak kira-kira 100 kilometer dari pusat bandar Johor Bahru sebagai lokasi operasi.

Selain itu, katanya sebuah platform e-dagang terkemuka turut merancang membina hab pengedaran terbesar di Yong Peng, sekali gus menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda.

Yong Peng berada di tengah-tengah Johor dan hanya kira-kira sejam dari Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP). Kedudukan strategik itu, katanya memberi kelebihan besar kepada sektor logistik dan pembuatan.

Beliau berkata kawasan itu kini berada pada titik perubahan ke arah sebuah bandar perindustrian baharu, memandangkan semakin ramai pelabur mula membeli tanah bagi tujuan pembangunan kawasan industri.

Mengenai manifesto baharunya yang akan dilancarkan Sabtu ini, Ling berkata fokus akan diberikan kepada tiga teras utama iaitu pengukuhan infrastruktur, jaringan keselamatan sosial serta usaha merancakkan ekonomi menerusi sektor pelancongan.

Selain itu, kemudahan untuk warga emas, keluarga muda dan pasangan baharu berkahwin turut akan dipertingkatkan bagi menggalakkan lebih ramai anak muda terus menetap di Yong Peng.

Mengulas keyakinannya mempertahankan kerusi DUN Yong Peng, beliau menyerahkan  sepenuhnya kepada pengundi untuk menilai prestasi sepanjang lebih empat tahun berkhidmat.

"Saya sudah serahkan kad laporan kepada rakyat. Sama ada saya lulus atau cemerlang, biarlah pengundi yang menentukan," katanya.

Ling berkata hubungan akrab dengan penduduk setempat telah terjalin sejak 16 tahun lepas, bermula ketika beliau menguruskan hal ehwal Parlimen Ayer Hitam di bawah Ahli Parlimennya yang juga Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

'Sejak itu, saya sentiasa turun padang dan bertemu rakyat. Hubungan yang dibina bukan hanya ketika pilihan raya, tetapi sepanjang masa," katanya.

Ling yang memenangi kerusi DUN Yong Peng buat kali pertama pada PRN Johor 2022 berkata kekuatannya terletak pada pendekatan mendekati rakyat secara konsisten tanpa mengira musim pilihan raya sehingga beliau digelar "YB Kedai Kopi".

"Hampir setiap hari saya singgah di kedai kopi, warung atau restoran mamak untuk bertemu penduduk. Hubungan kami bukan lagi sekadar wakil rakyat dan pengundi, tetapi sudah seperti sebuah keluarga," katanya.

Pada PRN Johor kali ini, Ling akan mempertahankan kerusi DUN Yong Peng dalam pertembungan satu lawan satu menentang calon Pakatan Harapan (PH) Yong Hui Yi.

Bagi mendapatkan berita terkini PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/

-- BERNAMA

 

N19: YONG PENG: 34,023

1. Ling Tian Soon (BN-MCA)

2. Yong Hui Yi (PH-DAP)

 

(2022: Ling Tian Soon : BN-MCA: Maj: 2,741)