Jalan Trus, Simbol Keharmonian Yang Terus Mekar Di Tengah Bandar Johor Bahru
Oleh Samantha Tan
JOHOR BAHRU, 2 Julai (Bernama) -- Di tengah kesibukan bandar raya Johor Bahru, laungan azan dari masjid, dentingan loceng gereja serta kelibat penganut yang keluar masuk rumah ibadat menjadi pemandangan lazim yang mewarnai Jalan Trus dan kawasan sekitarnya, sekali gus menggambarkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama yang terus subur sejak lebih satu abad lalu.
Merangkumi Jalan Trus, Jalan Ungku Puan, Jalan Pahang, Jalan Dhoby dan Jalan Tan Hiok Nee, kawasan warisan itu wajar dikenali sebagai “Jalan Keharmonian” kerana menghimpunkan rumah ibadat lima agama dalam jarak hanya beberapa minit berjalan kaki antara satu sama lain.
Di kawasan itu terletaknya Masjid An-Nur Kotaraya, Tokong Lama Johor Bahru, Arulmigu Rajamariamman Devasthanam, Church of the Immaculate Conception serta Gurdwara Sahib Johor Bahru yang bukan sahaja menjadi mercu tanda sejarah bandar raya ini, malah terus berfungsi sebagai pusat ibadat dan aktiviti kemasyarakatan.
Tinjauan Bernama mendapati kewujudan rumah ibadat Islam, Buddha, Hindu, Kristian dan Sikh yang terletak berdekatan bukan sahaja mencerminkan kepelbagaian budaya serta toleransi agama yang menjadi identiti Johor Bahru, malah membuktikan masyarakat berbilang kaum dan kepercayaan mampu hidup bersama dalam suasana aman, saling menghormati dan bertolak ansur sejak turun-temurun.
Lebih daripada sekadar destinasi warisan, kawasan berkenaan turut menjadi pusat ibadat dan ruang pertemuan masyarakat berbilang kaum, selain menarik kunjungan pelancong tempatan serta asing yang ingin menyaksikan sendiri keunikan rumah ibadat pelbagai agama di situ.
Bagi pelancong wanita dari Amerika Syarikat yang hanya mahu dikenali sebagai Bee, 48, pengalaman berjalan kaki di kawasan itu memberikan gambaran berbeza mengenai kepelbagaian budaya di Malaysia.
“Tempat ini sangat berwarna-warni dan mudah dikunjungi dengan berjalan kaki. Apa yang paling istimewa ialah dapat menyaksikan kepelbagaian rumah ibadat yang wujud di sini,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata Jalan Trus mengingatkannya kepada kawasan berhampiran Pasar Seni di Kuala Lumpur, namun mengakui suasana di Johor Bahru lebih tersusun dan menyerlahkan kepelbagaian budaya.
Seorang lagi pengunjung, Tan, 40, dari Kuala Lumpur berkata keharmonian yang dinikmati di Johor perlu terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.
“Jika keadaan seperti ini dapat dikekalkan selama bertahun-tahun, kita perlu terus berusaha mengekalkannya. Generasi muda perlu mengetahui bahawa nenek moyang kita hidup bersama dalam suasana aman, tenang dan gembira walaupun berlainan agama. Semangat itu perlu dicontohi,” katanya yang bercuti di Johor bersama keluarganya.
Penduduk, Rosli Yusof, 53, yang menetap di Johor selama 17 tahun menyifatkan Jalan Trus sebagai bukti bahawa kepelbagaian agama bukan penghalang kepada perpaduan, sebaliknya menjadi kekuatan yang menyatukan masyarakat.
“Di sini tiada masalah walaupun rumah ibadat pelbagai agama terletak berdekatan. Setiap kali musim perayaan, semua pihak saling menghormati dan hidup dalam suasana aman,” katanya yang berasal dari Kedah.
Bagi peniaga bunga berhampiran kuil Hindu, M. Rajinikannal, 45, kewujudan kuil Arulmigu Rajamariamman Devasthanam yang berusia lebih 100 tahun itu menjadi kebanggaan masyarakat India di Johor dan terus menerima kunjungan orang ramai, termasuk pelancong luar negara.
“Kami hidup dalam suasana harmoni sejak dahulu. Ramai datang membeli bunga sebelum bersembahyang. Bukan masyarakat India sahaja, malah masyarakat daripada kaum lain juga singgah ke sini,” katanya.
Sementara itu, Presiden Gurdwara Sahib Johor Bahru (GSJB) Dr Sarjit Singh berkata gurdwara berkenaan telah berkhidmat kepada komuniti Sikh lebih 60 tahun dan terus memainkan peranan penting sebagai tempat ibadat serta pusat komuniti.
Beliau berkata pelbagai komuniti agama juga kerap menyertai aktiviti antara agama, termasuk program berjalan warisan yang menghubungkan rumah-rumah ibadat di kawasan berkenaan, sekali gus mencerminkan semangat saling menghormati dalam kalangan masyarakat.
Beliau berharap semangat perpaduan itu terus dipelihara, dengan Johor kekal sebagai model keharmonian hidup masyarakat berbilang agama.
Johor kini sedang melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan pengundian pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.
Bagi mendapatkan berita terkini PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- PRN Johor: Onn Abu Bakar Gariskan Enam Tekad Pacu Pembangunan DUN Senggarang
- Kerajaan Sasar 100 Peratus Capaian Internet Di Kawasan Berpenduduk
- Wanita Terjatuh Dari Jambatan Ditemukan Lemas
- Mohamad Sabu Ketuai Delegasi Malaysia Beri Penghormatan Terakhir Kepada Khamenei
- Busana Orang Ulu Curi Tumpuan Di 75th Lindau Nobel Laureate Meeting 2026