Tok Pandak Perjuang Pemetaan Semula Persempadanan Perairan Johor-Singapura
Oleh Hasnah Jusid
JOHOR BAHRU, 2 Julai (Bernama) -- Komuniti nelayan hanya 1.53 peratus atau 2,000 daripada 132,579 pengundi berdaftar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar, namun angka itu sangat signifikan dan bermakna di hati penyandang DUN daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Pandak Ahmad.
Manakan tidak, darah dan jiwa nelayan begitu sebati dengan dirinya, malah arwah datuk dan bapanya seorang nelayan, selain beliau sendiri membesar dalam komuniti kampung yang bergantung pada hasil laut untuk menyara diri, dengan bot dan sampan sebagai pengangkutan utama.
“Saya pergi ke sekolah English College pun berbeza daripada orang lain, dalam tahun 70-an hingga 80-an, dari Sungai Melayu ke Pantai Lido pun saya naik bot. Jadi nelayan dan saya tak dapat dipisahkan,” katanya kepada Bernama sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di sini.
Mesra dipanggil Tok Pandak, beliau yang pernah menjadi ketua kampung selama 30 tahun, dan ahli Majlis Bandaraya Iskandar Puteri selama 12 tahun berkata, disebabkan itulah banyak permasalahan berkaitan nelayan sering diajukan kepadanya, daripada sekecil-kecil masalah, sehinggalah kepada isu antarabangsa.
Antara isu tersebut ialah nelayan tempatan dilaporkan dihalau oleh pihak berkuasa Singapura ketika memasang jaring udang di kawasan Pasir Laba, berhampiran Jambatan Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua), sekali gus mencetuskan perselisihan faham antara kedua-dua pihak yang berlaku pada 2022.
Pandak, 63, merupakan individu yang lantang memperjuangkan nasib golongan itu dalam persidangan DUN, termasuk mengemukakan usul pemetaan semula persempadanan Malaysia-Singapura melibatkan perairan Johor, khususnya Selat Tebrau, namun belum dapat direalisasikan hingga kini.
Sehubungan itu, beliau berkata tekadnya sekiranya diberi mandat sekali lagi adalah untuk terus memperjuangkan hak nelayan tradisional, termasuk memastikan isu persempadanan perairan dan keselamatan nelayan mendapat perhatian serius kerajaan dan agar hak kedaulatan tanah air terpelihara.
Beliau berkata isu persempadanan itu amat kritikal memandangkan kedudukan geografi perairan Selat Johor yang sangat rapat, sehingga menyukarkan nelayan tradisional mengenal pasti sempadan sebenar ketika berada di laut sehingga mengundang risiko keselamatan termasuk insiden dihalau.
Bagaimanapun, beliau menzahirkan kesyukuran apabila situasi di perairan sempadan kini semakin terkawal dan menunjukkan pengurangan dari segi gangguan terhadap nelayan tempatan.
Pandak berkata perkembangan positif itu disumbangkan oleh hubungan diplomatik dan persefahaman yang baik antara kepimpinan tempatan dengan Konsul Jeneral Republik Singapura di Johor Bahru yang baharu, Ng Kuan Khai.
"Bila beliau mengambil alih (tugasan), ada kesepakatan yang dicapai. Saya juga menjelaskan kepada pihak konsulat mengenai budaya unik nelayan tradisional kita di Tanjung Kupang, Sungai Melayu, dan Pendas yang jarang menggunakan jaket keselamatan sewaktu menjaring ikan atas faktor keselamatan teknikal pukat.
"Pihak mereka (Singapura) kini lebih meneliti dan memahami keadaan tersebut,” katanya.
DUN Kota Iskandar yang mempunyai 132,579 pemilih berdaftar menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pandak, calon Pakatan Harapan (PH) Dzulkefly Ahmad, S. Anna Pravina daripada Perikatan Nasional (PN) dan Sahrudin Omar mewakili Parti Bersama Malaysia (Bersama).
Hari pengundian PRN Johor pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.
Bagi mendapatkan berita terkini PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.
-- BERNAMA
N49: KOTA ISKANDAR - 132,579 pengundi
1. S. Anna Pravina (PN-MIPP)
2. Dzulkefly Ahmad (PH-Amanah)
3. Datuk Pandak Ahmad (BN-UMNO)
4. Sahrudin Omar (Bersama)
(2022: Datuk Pandak Ahmad: BN-UMNO: Maj: 4,360)
Kata kunci
Berita terkini
- Malaysia Beri Jaminan Kepada Belgium, Akses Laut China Selatan Kekal Terbuka - TPM Fadillah
- IPPFA Kekalkan Unjuran Pertumbuhan KDNK 2026 Malaysia Pada 4.6 Peratus
- Abang Didakwa Rogol, Lakukan Amang Seksual Fizikal Ke Atas Adik Kandung
- Dua Kelindan Lori Ais Antara Empat Ditahan Positif Dadah
- Program Pembentukan Sahsiah, Disiplin PDRM Diperluas Ke Sekolah Rendah - JPNWPKL