PRN Johor: Penduduk Bukit Batu Mahu Wakil Rakyat Tumpu Kos Sara Hidup, Infrastruktur
KULAI, 2 Julai (Bernama) -- Kos sara hidup yang semakin meningkat, peluang pekerjaan dan kemudahan infrastruktur yang lebih baik adalah antara tuntutan utama penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Kebanyakan penduduk yang ditemui Bernama berharap wakil rakyat dan kerajaan negeri yang akan dibentuk selepas pilihan raya itu dapat memberikan tumpuan kepada penyelesaian isu-isu berkenaan, yang disifatkan memberikan kesan langsung kepada kehidupan harian penduduk.
Penduduk Taman Sri Pulai 1, Kelvin Chong, 58, berkata kerajaan negeri, khususnya wakil rakyat DUN Bukit Batu, perlu memberikan tumpuan kepada usaha mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dengan gaji yang lebih kompetitif bagi membantu rakyat yang berdepan dengan peningkatan kos sara hidup.
“Ramai yang berharap lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan dengan gaji yang lebih baik. Kos sara hidup di Johor semakin tinggi dan harga barang juga banyak dipengaruhi oleh faktor berdekatan dengan Singapura,” kata ahli perniagaan dalam sektor logistik itu.
Sementara itu, pengusaha kebun sayur-sayuran dan buah-buahan, Tew Chong, 48, berharap lebih banyak inisiatif diperkenalkan bagi mengurangkan kos pengeluaran sektor pertanian supaya harga hasil tanaman dapat dikekalkan pada kadar yang lebih berpatutan.
Chong berkata peningkatan kos baja, racun, tenaga kerja serta pengangkutan sejak kebelakangan ini menyebabkan pengusaha sepertinya terpaksa menaikkan harga jualan sayur-sayuran dan buah-buahan bagi menampung kos operasi.
“Kalau kos pengeluaran dapat dikurangkan, kami tidak perlu menaikkan harga terlalu tinggi. Secara tidak langsung, pengguna juga boleh menikmati harga sayur-sayuran dan buah-buahan yang lebih berpatutan,” katanya.
Bagi pemilih berdaftar di DUN Bukit Batu Muhammad Yusof Abdullah, 64, usaha menaik taraf infrastruktur di kawasan Bukit Batu perlu diberi perhatian, khususnya penyelenggaraan jalan raya, sistem perparitan serta kemudahan awam.
Pesara itu berkata pembangunan pesat di kawasan berkenaan perlu disokong dengan penyediaan kemudahan yang lebih baik bagi memastikan keselesaan dan keselamatan penduduk.
“Macam di Jalan Sri Putri di sini, ada banyak jalan berlubang dan bonggol yang tajam sehingga boleh menyebabkan kenderaan rosak. Kami bimbang berlaku perkara yang tidak diingini. Jadi, kalau infrastruktur dapat dipertingkatkan, sudah tentu ia akan memberikan lebih keselesaan kepada rakyat,” katanya.
DUN Bukit Batu menyaksikan pertandingan lima penjuru membabitkan penyandang Arthur Chiong Sen Sern daripada Pakatan Harapan (PH), R. Kumaran (Barisan Nasional - BN), M. Premanand (Parti Ikatan Demokratik Malaysia - MUDA), G. Tamili (Parti Bersama Malaysia - Bersama) serta calon Bebas Datuk Kamaruzaman Ali.
PRN Johor ke-16 akan diadakan 11 Julai ini, manakala pengundian awal ditetapkan pada 7 Julai.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.
-- BERNAMA
N51: BUKIT BATU - 49,963 pengundi
1. R. Kumaran (BN-MIC)
2. Datuk Kamaruzaman Ali (Bebas/IND)
3. G. Tamili (Bersama)
4. Chiong Sen Sern (PH-PKR)
5. M. Premanand (MUDA)
(2022: Chiong Sen Sern: PKR: Maj: 137)
Berita terkini
- Polis KL Tekankan Pembanterasan Buli, Gengsterisme Sejak Sekolah Rendah
- PRN Johor: Dakwaan Kempen BN 'Suram' Hanya Tafsiran Politik Peribadi - Ahmad Zahid
- Pelaksanaan Automatik BUDI Diesel Bendung Ketirisan Subsidi Di Sempadan - Fuziah
- Lambat Lagi Untuk Pesaing Musk Dalam Kekayaan Trilion Dolar Muncul - Pakar AS
- Timbalan Perdana Menteri Belgium Tiba Di Malaysia Untuk Lawatan Kerja Dua Hari