Pembersihan Kaabah Pada Selasa Bawa Makna Kerohanian, Tegaskan Mesej Tauhid
MAKKAH, 30 Jun (Bernama-SPA) -- Pembersihan Kaabah, yang dijadualkan pada Selasa, akan dilakukan dalam tiga peringkat utama dengan rapi dan tepat yang mencerminkan penghormatan pada masa dan tempat, lapor Agensi Akhbar Saudi (SPA).
Persediaan bermula dengan 15 liter air zamzam, 15 liter air mawar, 15 liter minyak mawar dan 100 mililiter minyak oud.
Tiga peringkat itu ialah persiapan, mencuci, kemudian mewangikan dan membakar kemenyan.
Pihak Berkuasa Am bagi Penjagaan Dua Masjid Suci berkata setiap peringkat dijalankan dengan penuh hati-hati dan jitu, mencerminkan status kaabah yang suci dan sesuai dengan kedudukannya yang tertanam dalam hati masyarakat Muslim.
Pihak berkuasa berkata semua bahan yang digunakan disediakan dengan teliti lebih awal selaras dengan standard dan sistem perkhidmatan terkini dan tertinggi untuk acara bertaraf global tersebut.
Sementara itu, Yang Dipertua Hal Ehwal Agama di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi Sheikh Dr Abdulrahman Al-Sudais berkata membersihkan Kaabah mencerminkan penjagaan berterusan Kerajaan (Arab Saudi) ke atas tapak suci itu, penghormatan terhadap amalan ibadah Islam dan komitmen untuk berkhidmat kepada Dua Masjid Suci serta pengunjung.
Beliau berkata Kaabah ialah kiblat umat Islam dan pembersihannya membawa makna kerohanian yang mendalam, mencerminkan perintah Ilahi untuk menyucikannya.
Ritual itu juga memperingati pembersihan Kaabah oleh Nabi Muhammad dan penghapusan berhala semasa penaklukan Makkah justeru menegaskan semula mesej tauhid.
-- BERNAMA-SPA
Kata kunci
Berita terkini
- Maghribi Mara Ke Pusingan 16 Piala Dunia, Tewaskan Belanda Menerusi Penentuan Penalti
- Arab Saudi Gesa Kerjasama Lebih Erat Dengan Negara Majoriti Islam Termasuk Malaysia
- Penduduk Mahu Kukup Diberi Nafas Baharu, Anak Muda Tidak Terus Berhijrah
- PRN Johor: Pembangunan Kota Iskandar Perlu Seiring Keperluan Penduduk - Calon PH Dzulkefly
- PRN Johor: BN Pilih Pendekatan Berhemah, Elak "Bergaduh" - Zambry