Brazil Bangkit Saat Akhir Tumpaskan Jepun, Mara Ke Pusingan 16
ISTANBUL, 30 Jun (Bernama-Anadolu) -- Brazil bangkit mencatat kemenangan 2-1 ke atas Jepun menerusi jaringan pada masa kecederaan untuk mara ke pusingan 16 daripada pusingan 32 Piala Dunia FIFA 2026 di Stadium Houston, Amerika Syarikat (AS), lapor Anadolu Ajansi (AA).
Jepun berjaya mengekang asakan Brazil sepanjang babak pertama menerusi formasi bertahan 5-4-1 yang berdisiplin, sekali gus menutup ruang kepada Selecao untuk melancarkan serangan, terutama di bahagian sayap. Brazil menguasai penguasaan bola namun gagal menggerakkannya dengan cukup pantas untuk memecahkan benteng pertahanan Samurai Blue.
Jepun membuka tirai jaringan pada minit ke-29 apabila Kaishu Sano memintas hantaran yang tersasar daripada Danilo sebelum meluru ke hadapan dan melepaskan rembatan rendah dari luar kotak penalti yang menewaskan Alisson. Gol itu merupakan jaringan antarabangsa pertama Sano dan memberikan Jepun kelebihan yang sewajarnya.
Samurai Blue yang masih memburu kemenangan pertama mereka dalam pusingan kalah mati Piala Dunia, memasuki waktu rehat dengan hanya berbaki 45 minit untuk mencipta sejarah. Anak buah Carlo Ancelotti berdepan cabaran besar selepas dihukum oleh penyudah tajam Sano dalam aksi babak pertama yang sengit.
Brazil tampil dengan aksi lebih bertenaga selepas rehat apabila berulang kali mengancam menerusi gerakan di bahagian sayap dan hantaran lintang berbahaya ke dalam kotak penalti. Tekanan itu akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-56 apabila Casemiro menanduk masuk hantaran lintang Gabriel Magalhaes di tiang jauh untuk menewaskan Zion Suzuki, sekali gus menyamakan kedudukan dan menggembirakan penyokong Brazil di Houston.
Ketika perlawanan seakan berlanjutan ke masa tambahan, Brazil memberikan tamparan hebat buat Jepun. Pada minit 90+5, Bruno Guimaraes meluru ke depan kotak penalti sebelum melorongkan bola kepada Gabriel Martinelli, yang berjaya melepaskan rembatan menewaskan Suzuki walaupun penjaga gol itu sempat menyentuh bola.
Jaringan kemenangan pada saat akhir itu menamatkan impian Jepun dalam kejohanan berkenaan dan memastikan Brazil mara ke pusingan seterusnya.
Brazil akan menentang sama ada Norway atau Ivory Coast pada pusingan 16 terbaik.
-- BERNAMA-ANADOLU
Kata kunci
Berita terkini
- Bursa Malaysia Dibuka Tinggi
- Pulau Banggi Benteng Negara Di Utara Sabah Teguh Dipertahan
- Seorang Hakim Cuti Sakit, Keputusan Syed Saddiq Ditangguh 13 Julai
- Maszlee Cadang Perkenal Aplikasi Khas Selami Masalah Penduduk Puteri Wangsa
- Perbaiki Infrastruktur, Atasi Keciciran Pelajaran Fokus Utama Maszlee Di Puteri Wangsa