30/06/2026 10:59 AM

Seorang Hakim Cuti Sakit, Keputusan Syed Saddiq Ditangguh 13 Julai

PUTRAJAYA, 30 Jun (Bernama) -- Keputusan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang dijadualkan hari ini, ditangguhkan 13 Julai berikutan seorang panel hakim Mahkamah Persekutuan bercuti sakit.

Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Seri Abu Bakar Jais yang mengetuai panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan berkata mahkamah telah bersedia dengan keputusan, namun tidak dapat memberikan keputusan hari ini.

"Saya dengan Yang Arif Datuk Collin Lawrence Sequerah ada di mahkamah, tetapi Yang Arif Datuk Che Ruzima tidak bersama kami kerana kami diberitahu Yang Arif Che Ruzima tidak sihat dan bercuti rehat untuk hari ini dan esok. Adalah tidak wajar untuk mahkamah menyampaikan keputusan tanpa kehadiran seorang daripada anggota panel hakim,” katanya.

Hakim Abu Bakar berkata mahkamah telah dimaklumkan mengenai keadaan Che Ruzima lewat petang semalam.

"Kami boleh mengarahkan pihak pendaftar memaklumkan kepada semua pihak semalam bahawa keputusan tidak dapat disampaikan hari ini, namun ketika itu hari sudah lewat. Saya berpendapat adalah kurang wajar berbuat demikian. Justeru, saya bersidang hari ini bagi memaklumkan perkara tersebut kepada semua pihak. Kami menetapkan keputusan disampaikan pada 13 Julai,” katanya.

Prosiding hari ini dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Datuk Ahmad Akram Gharib dan Farah Ezlin Yusop Khan manakala Syed Saddiq diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk S Ambiga dan Lim Wei Jeit.

Pada 25 Jun 2025, Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Syed Saddiq, 33, daripada empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 9 Nov 2023.

Jabatan Peguam Negara (AGC) kemudiannya memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan sehari selepas keputusan Mahkamah Rayuan itu.

-- BERNAMA 

Kata kunci