Iran, Oman Anjur Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Bersama Hormuz
TEHRAN, 29 Jun (Bernama-IRNA) -- Timbalan Menteri Luar Iran bagi Hal Ehwal Undang-undang dan Antarabangsa Kazem Gharibabadi mengumumkan bahawa wakil dari Iran dan Oman telah mengadakan mesyuarat pertama Jawatankuasa Bersama Hormuz, dengan tumpuan terhadap masa depan Selat Hormuz, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).
Merujuk kepada lawatannya ke Oman pada Isnin, Gharibabadi menerusi hantaran di aplikasi X memaklumkan bahawa beliau telah bertemu dengan Duta Khas Oman, Abdulaziz Al Hinai bagi mesyuarat sulung jawatankuasa berkenaan.
Dalam mesyuarat itu, kedua-dua pihak meneliti isu-isu semasa berkaitan Selat Hormuz serta bertukar-tukar pandangan mengenai pengurusan masa depan selat berkenaan.
Gharibabadi menambah bahawa perbincangan itu berpandukan Perenggan 5 Memorandum Persefahaman Islamabad serta hak kedaulatan negara-negara pesisir.
Mesyuarat itu menyusul selepas kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Muscat dan Tehran pada 23 Jun, berikutan lawatan Menteri Luar Iran Abbas Araghchi dan Ketua Perunding Mohammad Bagher Ghalibaf.
Kenyataan berkenaan menegaskan bahawa semua pengaturan berhubung selat itu mestilah menghormati sepenuhnya kedaulatan dan hak kedua-dua negara pesisir terbabit.
Kedua-dua negara turut bersetuju untuk meneruskan perbincangan lanjut mengenai isu itu menerusi jawatankuasa bersama yang ditubuhkan oleh kementerian luar masing-masing.
Jawatankuasa itu bertujuan mencapai konsensus mengenai tadbir urus masa depan bagi laluan perkapalan di selat berkenaan, termasuk penyediaan perkhidmatan dan kos berkaitan, selaras dengan piawaian antarabangsa.
-- BERNAMA-IRNA
Berita terkini
- REHDA Malaysia Lantik Zaini Yusoff Presiden Baharu Penggal 2026-2028
- Nigel Wong Dipilih Semula Sebagai Presiden MATTA
- MAIPk Peruntuk RM470,000 Taja Belia Asnaf Ikuti Program Kemahiran Perkapalan
- Bina Puri Dapat Kelulusan Prinsipal Daripada Pembiaya Bagi Skim Penstukturan Semula
- Malaysia Perlu Bergerak Pantas Perkukuh Keupayaan Teknologi, Keselamatan Siber - Ahmad Zahid