29/06/2026 06:20 PM

Inisiatif Telematik Kenderaan Perdagangan Dilaksana Secara Berfasa - Loke

BANGI, 29 Jun (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) akan melaksanakan inisiatif sistem telematik kenderaan perdagangan secara berfasa bermula 2026 hingga 2028, sebagai sebahagian usaha memperkukuh keselamatan jalan raya negara melalui pendekatan berasaskan data dan teknologi pintar.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata inisiatif itu, akan bermula dengan fasa sukarela dan advokasi kepada industri pada 2026 hingga 2027, sebelum diperluas kepada pembangunan Sistem Pangkalan Data Pemandu Kenderaan Perdagangan dan integrasi data telematik secara berpusat tahun depan.

Beliau berkata fasa ketiga yang dicadangkan bermula pada 2028, iaitu mempertimbangkan penggunaan sistem telematik sebagai antara syarat wajib pelesenan bagi kenderaan perdagangan, tertakluk kepada tahap kesiapsiagaan industri serta pembangunan sistem kerajaan yang berkaitan.

“Namun begitu saya nak tegaskan bahawa yang pertamanya, kita belum mewajibkan untuk mana-mana syarikat menggunakan sistem telematik, tetapi ia satu langkah yang kita galakkan kerana kita merasakan bahawa kalau ada sistem telematik untuk memantau tingkah laku pemandu, ini akan membantu untuk meningkatkan tahap keselamatan jalan raya.

“Dan ini baik untuk syarikat pengangkutan juga. Syarikat-syarikat kenderaan berat ini boleh memantau pemandu-pemandu mereka sendiri. Jadi ada beberapa features yang penting,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Inisiatif Telematik bagi Kenderaan Perdagangan di sini hari ini.

Telematik merupakan teknologi pintar yang menggabungkan sistem Sistem Penentududukan Sejagat (GPS), sensor kenderaan dan komunikasi data bagi membolehkan pemantauan operasi kenderaan secara masa nyata bagi mengenal pasti parameter seperti kelajuan, brek mengejut, pecutan agresif, tempoh pemanduan dan corak pergerakan kenderaan boleh direkod serta dianalisis secara berterusan.

Beliau berkata antara ciri keselamatan paling penting dalam sistem telematik ialah keupayaan menghalang kenderaan daripada dihidupkan, sekiranya pemandu didapati berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

“Ada beberapa features yang penting. Yang pertamanya, kita akan tahu melalui telematik sama ada pemandu memandu laju, pemandu mengantuk...kalau mereka ini positif dari segi alkohol atau dadah, maka sistem telematik akan menyebabkan enjin tidak boleh dihidupkan, jadi mereka tidak boleh membawa kenderaan tersebut,” katanya.

Loke berkata pendekatan berasaskan langganan itu juga tidak membebankan syarikat, kerana tiada keperluan pelaburan modal besar, sebaliknya hanya melibatkan pemasangan peralatan dan caj langganan bulanan antara RM60 hingga RM300 bagi setiap kenderaan.

“Syarikat-syarikat tidak perlu membeli sistem ini...apa yang mereka kena buat kalau nak menggunakan sistem ini hanya melanggan perkhidmatan. Jadi syarikat telematik akan pasang kamera, pengesan dan perkakasan dalam kenderaan. Sistem akan diintegrasikan dengan sistem pangkalan data mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Loke berkata lima syarikat telah dikenal pasti bagi pelaksanaan rintis perkhidmatan telematik, selepas memenuhi syarat minimum melalui POC iaitu BSmart System Solution Sdn Bhd, Navipulse Sdn Bhd, MyLorry Technology Solutions Sdn Bhd, Theta Edge Bhd dan ANSA Digital Sdn Bhd.

“Syarikat pengendali kenderaan perdagangan digalakkan untuk melanggani perkhidmatan telematik daripada syarikat-syarikat ini, berdasarkan kesesuaian keperluan operasi masing-masing,” katanya.

Loke berkata pengiktirafan itu bukan pelantikan eksklusif atau kelulusan mutlak kerajaan, sebaliknya tertakluk kepada pematuhan berterusan terhadap syarat teknikal ditetapkan oleh MOT.

Beliau berkata MOT turut melaksanakan Proof of Concept (POC) sistem telematik dalam tempoh 8 Sept hingga 8 Dis 2025, bagi menilai keberkesanan teknologi itu dalam memantau tingkah laku pemandu dan operasi kenderaan perdagangan.

“Dapatan utama POC menunjukkan bahawa teknologi telematik mampu menyokong pemantauan keselamatan operasi kenderaan perdagangan secara lebih komprehensif, berbanding sistem GPS konvensional,” katanya.

Beliau berkata data telematik juga boleh dimanfaatkan oleh agensi penguatkuasaan termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), bagi tujuan penguatkuasaan, analisis risiko serta kajian keselamatan jalan raya.

Loke berkata sistem itu, bukan bertujuan menggantikan peranan penguatkuasaan sedia ada sebaliknya melengkapi usaha JPJ dan PDRM, dalam meningkatkan keberkesanan tindakan serta pemantauan keselamatan.

-- BERNAMA