29/06/2026 06:11 PM

Pasaran Getah Ditutup Rendah

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup rendah pada Isnin, didorong oleh niaga hadapan getah serantau, kata peniaga.

Beliau berkata niaga hadapan getah Jepun merosot berikutan pengeluaran getah asli yang meningkat di negara pengeluar utama termasuk Thailand, Indonesia dan Vietnam selepas berakhirnya musim daun gugur.

“Sentimen pasaran turut terjejas susulan perjanjian damai sementara yang tidak stabil di Asia Barat dan permintaan global terhadap kenderaan yang rendah.

“Toyota Motor memaklumkan pada Isnin bahawa jualan kenderaan pada peringkat global merosot untuk bulan keempat berturut-turut pada Mei sebanyak 7.2 peratus berikutan penyusutan jualan di China dan Asia Barat yang menjejaskan prestasi keseluruhan,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, beliau berpendapat bahawa penurunan seterusnya dikekang oleh kenaikan harga minyak mentah dan prestasi ekonomi China yang berdaya tahan.

Setakat ini, harga minyak mentah Brent meningkat 0.90 peratus kepada US$72.61 setong.

Pada 3 petang, harga Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 menurun 21.5 sen kepada 859 sen sekilogram manakala susu getah pukal berkurangan 10 sen kepada 759.50 sen sekilogram. 

-- BERNAMA