29/06/2026 04:24 PM

PRN Johor: Semangat Kongsi Kuasa Teras Kestabilan Politik

MERSING, 29 Jun (Bernama) -- Prinsip kongsi kuasa yang menjadi teras perjuangan Barisan Nasional (BN) menuntut pengorbanan besar dan kesetiaan tidak berbelah bahagi daripada setiap parti komponen, demi memastikan kestabilan politik di negeri ini.

Pengerusi BN Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata amalan tersebut terbukti, menerusi kematangan jentera UMNO yang setia menyokong calon rakan komponen daripada MIC di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh, selama lebih 40 tahun.

Menteri Besar Johor itu berkata sepanjang tempoh itu, UMNO Tenggaroh membuktikan semangat setiakawan yang tinggi dengan tidak pernah merajuk atau berpaling tadah, sebaliknya terus bekerja keras bagi memastikan kawasan tersebut kekal sebagai kubu kuat BN.

“Selama 40 tahun UMNO minta kerusi ini (DUN Tenggaroh) dan setiap kali pilihan raya tidak dapat. Tetapi, UMNO tidak pernah merajuk, tetap berjuang untuk BN dan Tenggaroh tidak pernah kalah, terus setia dengan perjuangan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Jentera BN Mersing di Taman Lautan Biru di sini, hari ini.

Hadir sama calon BN bagi DUN Tenggaroh Mohd Youzaimi Yusof dan calon BN DUN Endau Alwiyah Talib.

Onn Hafiz berkata setiap keputusan dalam pembahagian kerusi dilakukan dengan teliti, bagi mengimbangi kepentingan semua pihak, sekali gus memperkukuh solidariti antara UMNO, MCA dan MIC.

Mengulas mengenai komposisi pengundi di Tenggaroh, beliau berkata terdapat kira-kira 500 pengundi masyarakat India daripada lebih 39,000 pemilih, namun ia bukan penghalang untuk BN mengamalkan konsep kerjasama pelbagai kaum.

Dalam pada itu, beliau mencabar jentera pilihan raya di kawasan berkenaan untuk membuktikan keberkesanan prinsip kongsi kuasa itu, dengan meningkatkan majoriti kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

“Jika dulu kita menang dengan majoriti 1,356, takkan kali ini pun sama, sasaran kita sekarang abang Zaimi (Mohd Youzaimi Yusof), bukan saja menang, tetapi dengan majoriti 3,000 undi selepas ini,” katanya.

DUN Tenggaroh menyaksikan saingan tiga penjuru melibatkan Mohd Youzaimi (BN-UMNO), Muhamad Amerul Muhamad (PN-Bersatu) dan Md Yusof Dawam (PH-PKR).

PRN Johor akan berlangsung 11 Julai, manakala pengundian awal pada 7 Julai.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.  

-- BERNAMA

 

N33: TENGGAROH: 39,001

1. Muhamad Amerul Muhamad    (PN-Bersatu)

2. Mohd Youzaimi Yusof    (BN-UMNO)

3. Md Yusof Dawam    (PH-PKR)

 

(2022: K. Raven Kumar: BN-MIC: Maj: 1,356)